Fokus Pembangunan Felda Bukti Manifesto BN Johor Inklusif

Fokus Pembangunan Felda Bukti Manifesto BN Johor Inklusif

JOHOR BAHRU, 14 April – Pengerusi Felda Tan Sri Shahrir Abdul Samad menyifatkan manifesto Barisan Nasional (BN) Johor pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14) yang turut memfokuskan pembangunan tanah rancangan Felda, adalah suatu usaha berterusan dan inklusif parti keramat orang Melayu itu.

Penyandang kerusi Parlimen Johor Bahru itu berkata tawaran BN Johor itu mampu memperkasa dan meningkatkan kesejahteraan warga Felda khususnya buat anak muda.

“Apa yang diumumkan di dalam manifesto BN Johor sebentar tadi adalah memperkukuh apa yang telah dibuat sebelum ini.

“Ia bersifat inklusif terhadap kepentingan peneroka dan generasi anak-anak peneroka dalam semua aspek,” katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran Manifesto BN Johor di sini hari ini oleh Pengerusi BN Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Menerusi Manifesto BN Johor, terdapat sekurang-kurangnya lapan perkara akan diberi perhatian terhadap pembangunan Felda antaranya menyediakan latihan kemahiran untuk 500 anak muda Felda setahun, membangunkan program transformasi sosio-ekonomi dan menyesaikan semua isu perwarisan dalam tempoh lima tahun.

Sementara itu, Pengerusi MIC Johor Datuk M.Asojan menyifatkan manifesto BN sebagai komprehensif kerana meliputi semua bidang termasuk teknologi baharu.

“Manifesto juga mempunyai fokus terhadap golongan sasar seperti Orang Muda Johor (OMJ). Pelbagai inisiatif untuk OMJ di mana turut menyediakan peluang pekerjaan yang banyak dan mendapatkan kemahiran tinggi,” katanya.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah negeri Datuk Ir Hasni Mohammad pula berpendapat manifesto itu lebih kepada meletakkan asas yang lebih kukuh untuk Johor.
“Manifesto ini juga memberikan pembaharuan khusus dan lebih fokus kepada kumpulan tertentu yang tidak pernah dilakukan sebelum ini seperti untuk masyarakat Felda dan orang muda,” katanya.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar, Pendidikan dan Penerangan Johor Datuk Ayub Rahmat menerusi kenyataan pula berkata manifesto BN Johor sangat praktikal dan berkisar tentang matlamat dan sasaran yang akan dicapai menjelang 2023.

“Jadi, rakyat janganlah termakan dakyah jahat pembangkang dan perlu bijak memilih parti yang benar-benar tulen memperjuangkan nasib mereka iaitu Barisan Nasional,” katanya.

Leave a Reply