BN Pantau Calon Pembangkang Di Johor

BN Pantau Calon Pembangkang Di Johor

KLUANG 13 April – Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, Barisan Nasional (BN) akan memantau calon-calon nama besar gabungan pembangkang PKR yang bertan­ding pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Timbalan Perdana Menteri berkata, BN bukan sahaja memantau nama-nama mereka yang sudah dicanangkan tetapi juga yang belum diumumkan.

“Kita tahu lawan politik kita akan menghantar calon-calon heavyweight ke Johor dan kita sedang memantau bukan hanya berdasarkan pengumuman calon tetapi kita turut meneliti cadangan nama yang (akan) dihantar mereka.

“(Bagaimanapun) saya amat berpuas hati dengan kesiapsiagaan dan persiapan untuk seluruh jentera BN Johor,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan Majlis Muafakat Pemimpin Bersama Rakyat, Perasmian Pembinaan Sekolah Agama Kerajaan Johor Fasa 5, Penyampaian Sijil Tawaran Rumah Mampu Milik Johor (RMMJ) Daerah Kluang, Pelancaran Taman Tamadun Islam, Pelan Pembangunan Kampung Paya dan Dewan Masyarakat India di sini, hari ini.

Yang turut hadir isteri beliau, Datin Seri Hamidah Khamis; Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Md. Jais Sarday yang juga penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota.

Ahmad Zahid berkata, persiapan yang dilakukan bukan sekadar laporan atas kertas tetapi berdasarkan penelitian yang dilakukan di kawasan Parlimen dan DUN di seluruh negeri.

Terdahulu dalam ucapan beliau, Ahmad Zahid yang juga Timbalan Pengerusi BN mahu BN mempertahankan Johor daripada jatuh ke ta­ngan pembangkang.

Katanya, kerajaan negeri sedia ada perlu dipertahankan dan selepas ini sekiranya BN menang, lebih banyak pembangunan dan kemajuan diteruskan di negeri ini.

Leave a Reply