SPAD Meterai Kontrak MyBas Johor Bahru – @KhaledNordin

 

JOHOR BAHRU, 11 Apr – Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) memeterai kontrak bersama Handal Indah Sdn Bhd (Handal Indah) yang menandakan pra-pelancarana perkhidmatan myBas Johor Bahru di bawah program Transformasi Bas Berhenti-henti (SBST).

Ketua Pegawai Operasi SPAD, Qamar Wan Noor berkata, perkhidmatan myBas di Johor Bahru akan memperkenalkan sebanyak 27 laluan utama dan perantara yang mencecah jarak perjalanan 16.8 juta kilometer setahun dan kekerapan setiap 20 minit berbanding kekerapan 30 minit pada sebelum ini.

“Sebanyak 249 buah bas terdiri daripada 222 bas diesel dan 27 bas elektrik akan dimasukkanke dalam perkhidmatan myBas Johor Bahru secara berperingkat bermula daripada suku ketiga 2018 sehingga suku kedua 2019.

“myBas Johor Bahru akan mengunakan empat jenis bas termasuk bas panjang yang mempunyai kapasiti 65 penumpang untuk berdiri dan duduk, bas ‘midi’ berkapasiti 50 penumpang, bas mini berkapasiti 30 penumpang dan bas elektrik saiz panjang dengan kapasiti bagi 65 penumpang, katanya.

Menurut beliau, Kerajaan Pusat telah memperkenalkan program SBST melalui SPAD pada tahun 2015 di ibu negeri-ibu negeri bermula dengan Kangar, Seremban, Ipoh dan baru-baru ini di Kuala Terengganu.

“Ini adalah sebahagian daripada inisiatif kerajaan untuk mempertingkatkan pengangkutan awam darat, mobiliti dan akses rakyat bagi kawasan-kawasan di mana bas berhenti-henti masih menjadi mod pengangkutan awam darat yang utama.

“Program SBST juga bertujuan untuk menyediakan perkhidmatan bas berhenti-henti yang selamat, relavan dan boleh dipercayai serta bagi meningkatkan nilai perkhidmatan bas di dalam jangka masa panjang, katanya.

Sementara itu, Qamar Wan Noor menandatangani kontrak berkenaan bersama Pengarah Urusan Handal Indah, Lim Han Weng dan turut disaksikan oleh Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Pengerusi SPAD, Tan Sri Datuk Seri Utama Mohd Isa Abdul Samad.

Leave a Reply