BN Johor Muktamad Calon, Tunggu Pengumuman PM – @khalednordin

BN Johor Muktamad Calon, Tunggu Pengumuman PM – @khalednordin

ISKANDAR PUTERI, 11 April  — Barisan Nasional (BN) Johor telah memuktamadkan senarai calonnya yang akan bertanding pada Pilihanraya Umum ke-14.

Pengerusi BN Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata perkara itu telah diputuskan selepas pertemuan dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, yang juga Pengerusi BN di Sri Perdana semalam, yang mana senarai calon berkenaan akan diumumkan oleh Perdana Menteri dalam masa terdekat ini.

Mohamed Khaled, yang juga Menteri Besar Johor itu juga tidak menolak kemungkinan akan ada calon yang disenaraikan untuk bertanding di dua kawasan pilihanraya termasuk Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) termasuk muka-muka baharu.

“Pertemuan berjalan dengan baik, kita sudah siap dan muktamadkan nama-nama dan bila sampai masa Perdana Menteri akan umumkan (nama-nama calon),” katanya kepada pemberita selepas Majlis Menandatangani Kontrak Transformasi Perkhidmatan Bas Berhenti-henti antara Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) dan Handal Indah Sdn Bhd, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai perjumpaan beliau dengan  Perdana    Menteri di Putrajaya semalam.

Berkenaan dengan Manifesto Orang Muda yang dilancarkan BN semalam, beliau berkata ia merupakan  satu manifesto yang tepat pada masanya dan mempunyai tawaran yang terbaik untuk golongan muda.

“Kita ucapkan tahniah kerana memang tepat pada masanya dan saya berharap orang muda akan dapat memberi pertimbangan yang baik dan jelas terhadap manifesto ini.

“Ia juga menunjukkan BN prihatin dan sentiasa mengambil berat tentang orang muda berbanding pembangkang yang tidak memikirkan orang muda,” kata beliau.

Sementara itu, Mohamed Khaled turut menyangkal dakwaan pembangkang yang kononnya  wang yang terdapat di dalam Tabung Warisan Johor telah digunakan oleh kerajaan negeri.

Menurutnya, kerajaan negeri tidak pernah menggunakan dana yang berjumlah RM300 juta berkenaan kerana ia hanya boleh digunakan dalam keadaan darurat.

 

Tabung Warisan Johor berkenaan ditubuhkan oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin yang pada ketika itu memegang jawatan Menteri Besar Johor pada tahun 1990-an.

“(Sekarang ini) kita ada banyak lagi (wang) dan kita tidak gunakan wang tersebut kerana kita tahu ia hanya boleh digunakan untuk kegunaan kelansungan budaya dan berkaitan air (dalam keadaan darurat),” katanya.

Tabung Warisan Johor merupakan wang pampasan pembinaan Empangan Linggui dari negara Singapura yang berjumlah lebih RM300 juta yang diterima oleh kerajaan negeri Johor dan dimasukkan ke dalam tabung ini untuk kegunaan keadaan darurat.

Semalam, Timbalan Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Johor Dzulkefly Ahmad mendakwa dana berkenaan telah digunakan oleh kerajaan negeri untuk tujuan lain dan bukan untuk waktu darurat.

Leave a Reply