Akta Antiberita Tidak Benar Tekankan Perkongsian Maklumat Sahih -Azalina

Akta Antiberita Tidak Benar Tekankan Perkongsian Maklumat Sahih -Azalina

KUALA LUMPUR, 11 April — Akta Antiberita Tidak Benar 2018 merupakan undang-undang berunsur pencegahan  bagi memberi mesej jelas bahawa setiap individu mesti bertanggungjawab terhadap perkongsian maklumat yang benar, sihat dan sahih.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Azalina Othman Said dalam kenyataan hari ini berkata akta itu juga merupakan yang pertama seumpamanya di dunia yang memberi kuasa kepada mahkamah untuk menentukan sesuatu berita itu benar atau tidak benar.

“Akta ini juga bersifat  ‘quasi criminal’ yang turut memberi peluang kepada semua orang untuk mendapat perlindungan melalui permohonan perintah mahkamah untuk menurunkan sesuatu berita tidak benar yang memberi kesan buruk kepada mana-mana pihak.

“Ini bagi memastikan hak kepada rakyat yang menjadi mangsa mempertahankan diri mereka untuk mendapat keadilan sewajarnya,” katanya.

Akta berkenaan telah diwartakan dan berkuat kuasa hari ini setelah mendapat  perkenan Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V pada 9 April.

Azalina berkata secara keseluruhan, akta itu bertujuan melindungi orang awam daripada penyebaran cepat berita tidak benar yang boleh memudaratkan ketenteraman awam sekali gus memastikan keselamatan negara terus terpelihara.

Leave a Reply