Kesederhanaan ‘resepi’ kejayaan Barisan Nasional

Kesederhanaan ‘resepi’ kejayaan Barisan Nasional

JOHOR dan ibu negerinya, Johor Bahru merupakan tempat kelahiran parti keramat orang Melayu, iaitu UMNO yang ditubuhkan di Istana Besar Johor Bahru pada 11 Mei 1946. Negeri ini terus menjadi kubu kuat UMNO sejak dahulu, namun pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), Johor menjadi sasaran Pakatan Harapan. Kata mereka ‘tumbangnya’ kerusi Parlimen Johor Bahru dan negeri ini, maka ‘matilah’ riwayat UMNO.

Justeru, tidak hairanlah ‘kerusi panas’ yang disandang pemimpin berpengalaman UMNO, Tan Sri Shahrir Abdul Samad selama tujuh penggal berturut-turut menjadi sasaran utama pembangkang, dengan beberapa nama seperti Penasihat DAP, Lim Kit Siang dan Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar disebut-sebut bakal bertanding di kerusi itu pada PRU-14.

Ikuti temuramah wartawan, Maznah Mohd. Arsad dan Azizi Majid serta jurugambar, Nur Aisyah Mazalan dengan Shahrir Abdul Samad baru-baru ini apabila menjawab pelbagai persoalan yang hangat diperkatakan rakyat di mana-mana sahaja termasuk di warung kopi.


UTUSAN: Apa rahsia Barisan Nasional (BN) Johor Bahru sehingga dapat pertahankan kerusi Parlimen ini selama tujuh penggal dan adakah kali ini BN mampu mempertahankannya lagi?

SHAHRIR: Rahsianya kita amalkan pedekatan kesederhanaan dengan menjaga kebajikan orang berkemampuan termasuk orang susah, miskin dan yang berpendapatn rendah. Kita adakan program-program berupa sentuhan dan pelbagai bantuan dengan tujuan nasib mereka terbela. Ini semua kita lakukan sejak dahulu dan tidak dilakukan secara bermusim. Maknanya ada pilihan raya atau tidak, program itu tetap berjalan.

Sumber yang kita gunakan untuk membantu mereka ialah Yayasan Bandaraya Johor Bahru dan Yayasan MyKasih, iaitu semua maklumat penerima sumbangan sentiasa dikemas kini.

Adakah BN Johor Bahru yakin merampas kerusi Dewan Unda­ngan Negeri (DUN) Stulang yang tewas pada PRU-13 dan mempertahankan kerusi DUN Tanjung Puteri (nama baharu Larkin)?

Kita berusaha untuk menawan DUN Stulang. Berdasarkan pengamatan sudah nampak sikap pengundi bukan Melayu di Stulang kembali kepada BN kerana kita buktikan kualiti kehidupan dan kesejahteraan mereka dipertingkatkan dengan cara memperkasakan masyarakat.

Mereka teruja menubuhkan persatuan penduduk yang bertujuan memperkasakan komuni­tinya, sebagai contoh Taman Sri Intan, kawasan komuniti Cina, suatu ketika dahulu kawasan itu semak dan tidak terurus, tetapi apabila mereka membuka pintu hati kepada BN dan menjalin kerjasama dengan Ahli Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB), kawasan itu kini bukan sahaja bersih dan ceria dengan kewujudan taman permainan, dataran muafakat dan rumah kelab, malah atas dasar muafakat mereka menu­buhkan Rukun Tetangga, menjadikan kawasan itu sifar jenayah. Kaedah serupa dikembangkan ke taman-taman lain.

Tan Sri sebagai orang lama dalam BN, adakah BN yakin untuk pertahankan Johor?

Kita tidak boleh kata ‘ala kita tak kisah…tak boleh. Antara ciri-ciri yang ada dalam kalangan pemimpin Johor, sifat kesederhanaan. Kita tak boleh pandang rendah terhadap lawan, kita akan dinilai oleh rakyat, setelah kita buat kerja sebaik mungkin dan berikrar memberikan kesejahte­raan sebaik mungkin terhadap rakyat, maka kita serah kepada rakyat untuk membuat penilaian yang sebaiknya.

Sebelum PRU 2004, di Johor semua kerusi Parlimen dan DUN dimenangi BN, namun kedudukan itu berubah pada PRU-11 (2004) BN kalah satu kerusi DUN, diikuti PRU-12 (2008) tewas enam kerusi dan pada PRU-13 (2013) jumlah tersebut terus meningkat kepada 18 kerusi dan terkini 19 kerusi apabila Ahli Parlimen Pagoh, Tan Sri Muhyiddin Yassin dipecat daripada UMNO. Adakah jumlah kekalahan boleh meningkat pada PRU kali ini?

Ini sebenarnya berkait rapat dengan tahap ke­siapsiagaan, dahulu kita memang agak leka. Kesan daripada itu kita bangkit dan banyak yang sudah dipulihkan, kita buat persiapan lebih rapi termasuk pemilihan calon dan persiapan jentera di peringkat cawangan dan bahagian.

Jika dahulu saya peroleh kira-kira 15 peratus sahaja undi bukan Melayu, tetapi kali ini saya ingat akan meningkat kerana sudah ada perubahan dari segi sikap dan sokongan kerana cara BN lebih menunjukkan kepada masa depan selaras dengan masa depan Dekad Baharu Johor yang ditonjolkan, Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Apa harapan Tan Sri pada PRU-14 dan mungkin ada sedikit nasihat kepada para pengundi?

Pada PRU-14 rakyat dan para pengundi bernasib baik kerana mereka boleh menilai bukan sahaja soal janji, tetapi pencapaian BN. Pakatan Harapan sudah 10 tahun mentadbir dua negeri, iaitu Selangor dan Pulau Pinang. Kalau kita kata lima tahun mungkin kata tak cukup masa, mereka mentadbir selama 10 tahun, apa yang dilakukan untuk rakyat kedua-dua negeri itu?

Jadi, setiap rakyat boleh menilai BN daripada janji dan ikrarnya semasa manifesto dengan pencapaiannya, bukan sahaja ikrar pada PRU-13 tetapi ikrar PRU-12 pun boleh kita nilai. Begitu juga kita boleh nilai pencapaian berasaskan ikrar dan janji dalam manifesto pembangkang di Pulau Pinang dan Selangor.

Ini sebenarnya yang baik untuk rakyat, janjinya dahulu begini, bukan hanya lima tahun tetapi 10 tahun sudah pembangkang diberi peluang. Justeru, rakyat boleh menilai adakah pembangkang mengotakan janji mereka berbanding kerajaan BN? © Utusan Melayu (M) Bhd

 

Leave a Reply