BN Atasi Masalah Penduduk Kulai

BN Atasi Masalah Penduduk Kulai

KULAI 25 Mac – Jika dahulu Kulai dianggap pekan koboi, namun selepas 15 tahun berlalu stigma itu sudah berjaya dihakis sama sekali dan kini berubah wajah dengan pelbagai pembangunan dan kemudahan serta persekitaran kondusif.

Perubahan yang berlaku berikutan usaha kerajaan Barisan Nasional (BN) mentransformasikan pekan tersebut menjadi sebuah daerah ke-10 dalam negeri ini yang melayakkannya dinaik taraf sebagai Majlis Perbandaran Kulai (MPKu).

Kedudukan geografi daerah itu juga agak istimewa kerana terletak dalam wilayah Iskandar Malaysia yang dilengkapi dengan pelbagai kemudahan dan kemajuan dalam semua sektor.

Antara pembangunan yang mengharumkan nama Kulai, termasuk menjadi Hab Logistik Selatan dengan adanya Lapangan Terbang Antarabangsa Senai, Kargo Senai, Johor Premium Outlet (JPO) dan memiliki Pusat Data Sedenak dan Bandar Robotik di Sedenak.

Selain itu, Kulai juga dilengkapi Terminal Bas dan Teksi, kemudahan kiosk pembayaran di tujuh pusat beli-belah bagi bayaran sewa, kompaun serta lesen.

Daerah ini juga memiliki Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Kulai bagi memudahkan penduduk berurusan dengan jabatan dan agensi kerajaan berkaitan.

Pembangunan drastik yang berlaku di Kulai adalah komitmen tinggi kerajaan sedia ada serta dite­rajui oleh pemimpin berwibawa seperti Datuk Zainal Abidin Jidin selaku Pengerusi BN merangkap Ketua UMNO Bahagian Kulai dan turut mendapat sokongan Naibnya, Datuk Mohd. Jafni Md. Shukur.

Mohd. Jafni yang juga Ketua Whip MPKu mengakui usaha yang dilakukan oleh BN adalah demi kelangsungan kira-kira 250,000 penduduk daerah ini.

Apa yang menjadi kegusaran, wakil rakyat pembangkang yang dipilih pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) gagal melaksanakan tugas seperti diharapkan.

Namun, nasib baik ada para pemimpin BN yang sentiasa komited mambantu menyelesaikan banyak isu dan masalah rak­yat.

Misalnya, masalah banjir kilat yang menjejaskan kehidupan kira-kira 800 penduduk sejak 10 tahun lalu di Kulai Besar, Perumahan Awam Kelapa Sawit dan Ladang Fraser telah berjaya diselesaikan.

Untuk itu pihak MPKu telah mengambil langkah proaktif de­ngan melaksanakan kerja-kerja pembersihan paritan dan longkang, di samping membuat pa­rit monsun melibatkan kos sebanyak RM450,000.

Dalam pada itu, Jabatan Pe­ngairan dan Saliran (JPS) turut memperuntukkan sebanyak RM1 juta bagi membina kolam taku­ngan bagi memperlahan aliran air ketika hujan di Batu 21, Kulai.

Turut menjadi runggutan para penduduk setempat ialah isu keselamatan lalu lintas semasa ibu atau bapa yang menghantar dan mengambil anak-anak mereka di sekolah.

Bagi mengatasi masalah itu, pihaknya mengenal pasti sekolah-sekolah terbabit dengan menaik taraf tempat parkir, menyediakan hentian bas untuk menaikkan dan menurunkan murid serta menyediakan papan tanda ke­selamatan yang melibatkan kos ke­seluruhan RM700,000.

Antara sekolah tersebut ialah Sekolah Agama Bandar Putera, Sekolah Kebangsaan (SK) Kulai, Sekolah Agama Indahpura, Sekolah Agama Taman Kota Kulai dan SK Polis Kem.

 

 

© Utusan Melayu (M) Bhd

Leave a Reply