BN Muar Sudah Cukup Lasak Untuk Berdepan Asakan Pembangkang

BN Muar Sudah Cukup Lasak Untuk Berdepan Asakan Pembangkang

KUALA LUMPUR, 06 April – Dalam kehangatan dan bahang Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 yang diperkatakan di seluruh negara, Muar yang merupakan salah satu Parlimen di negeri selatan tanah air turut terkena tempiasnya apabila terus menerima ‘lawatan’ oleh pimpinan ‘heawyweight’ pembangkang yang menjenguk kawasan tersebut.

Terletak di barat laut negeri Johor, parlimen berkenaan boleh dikatakan agak istimewa apabila dikatakan sebagai kunci ke Putrajaya oleh pembangkang. Sejauh mana kebenaran dan hakikat yang sebenarnya tidaklah dapat dipastikan namun secara umumnya gambaran yang diberikan itu tidak lebih sekadar perang psikologi pembangkang yang bercita-cita tinggi untuk menawan kawasan parlimen tersebut.

Dalam kunjungan khas UMNO-Online ke kawasan Muar baru-baru ini, soal tersebut diajukan kepada Ahli Parlimennya, Datuk Razali Ibrahim yang melihat jika benar itu yang diwar-warkan ianya tidak lebih sekadar helah politik semata-mata.

Keyakinannya itu adalah berasaskan kepada jika benar Muar sebagai kuncinya, bagaimana pula dengan kawasan-kawasan lain seperti Kota Tinggi, Pengerang, Mersing dan parlimen lain yang sekaligus menyerlahkan niat sebenar pembangkang dalam menuju PRU-14.

“Kalau betul nak pergi ke Putrajaya menanglah dulu kawasan yang mereka kalah teruk. Ini patut kuncinya. Mereka cakap Muar kerana mereka tahu keputusan PRU yang lepas Muar antara yang mereka congak berpeluang untuk menang tetapi sebaliknya pula berlaku. Jadi ini hanya gimik dan kempen bagi mengaburi mata orang ramai,” katanya.

Menjawab soalan asakan demi asakan oleh pihak lawan dan dengan pelbagai cabaran yang merentangi seluruh jentera BN di Muar dalam menghadapi PRU akan datang, beliau menegaskan segala yang mendatang itu sebenarnya bergantung kepada diri sendiri.

“…asakan yang datang besar atau kecil bergantung kepada tindak tanduk kita. Kalau benda yang datang itu kecil tetapi kalau kita bergaduh sesama sendiri dia akan jadi besar.  Kalau yang datang itu sangat besar tetapi kita dapat bermuafakat dan memberi fokus kepada gerak kerja, terus bekerjasama, gigih dan kuat maka tidak ada cabaran yang besar yang tidak dapat kita hadapi.

“Jadi lebih kepada saya sebutkan di dalam beberapa siri perjumpaan berapa jumlah undi yang kita dapat, berapa jumlah undi pembangkang yang akan dapat bergantung kepada susunan dan gerak jentera kita,” ujarnya.

Melihatkan kepada apa yang disebutkan oleh Razali itu, secara kebetulan krew UMNO-Online dapat melihat dengan jelas semangat jentera pada perjumpaan jentera BN Muar yang diadakan di bangunan UMNO bahagian terbabit.

Seluruh jentera daripada pelbagai komponen seluruh Pusat Daerah Mengundi (PDM)  masing-masing dilihat bertekad dengan satu semangat untuk mempertahankan Muar dan Sungai Balang selain merampas kawasan DUN Maharani dalam PRU nanti.

Tidak mustahil dengan tekad tersebut, peluang BN untuk mengembalikan sejarah kegemilangan BN di parlimen Muar berhasil kerana BN sebelum ini pernah menang dengan cemerlang di kawasan terbabit.

Pada Razali soal peluang tidak ada sesiapa pun yang boleh membuat jangkaan malah semua orang pun  tidak akan tahu apa yang bakal berlaku.

“Saya selalu beritahu jentera BN soal peluang tidak ada orang akan tahu apa yang bakal berlaku tetapi yang kita tahu kita pernah menang ketiga-tiga kerusi ini. Pernah menang di Maharani, pernah menang di Sungai Balang dan Parlimen Muar.

“Maka soalan tentang peluang sepatutnya boleh menang. Kita bukan seperti mana beberapa kawasan lain yang memang BN tidak pernah menang. Kita merupakan kawasan yang satu ketika dahulu pernah menang dan pernah menang dengan besar.

“Maka kita nak capai balik kegemilangan itu dan kita boleh laksanakan tetapi hendaklah diikuti dengan gerak kerja yang fokus, kesepaduan dan permuafakatan yang tinggi di kalangan ahli parti dan jentera bagi kita memenangi hati pengundi yang pernah satu ketika dahulu bersama dengan kita,“ katanya.

Menyelusuri politik beliau sebagai Ahli Parlimen seawal usia 33 tahun dan tiga penggal diberikan kepercayaan oleh penduduk Muar, Razali yang kini menjawat Timbalan Menteri DI Jabatan Perdana Menteri berkata hari ini tidak ada sesiapa pun boleh menafikan persiapan BN adalah yang terbaik menjelang PRU akan datang.

“Apa yang berlaku dalam PRU sebelum ini khususnya di Muar, ketika saya mula-mula bertanding pada 2004, waktu itu seluruh negara mendapat sokongan yang tinggi dikalangan rakyat. Kita tahu pada waktu itu ada pertukaran pucuk pimpinan di dalam parti dan kerajaan daripada Dr Mahathir kepada Pak lah… saya fikir kalau waktu itu masih kekal perdana menteri kita tidak dapat sokongan yang sebegitu rupa. Maknanya kita kena berterima kasih kepada Pak Lah pada ketika itu.

“Apabila saya diberikan amanah selama satu penggal dan kita buat kerja berlaku pula tsunami pertama. Ianya bukan melibatkan Muar semata-mata tetapi juga ada sentimen-sentimen yang lain menyebabkan selepas satu penggal undi turun. Menurun kepada 4,461.

“Jadi kita lipatgandakan usaha kita dan dalam PRU terbaru 2013, dengan jawatan Timbalan Menteri dengan kerja yang kita buat makin turun…sebab apa…sebab tsunami yang semua orang tahu

“Apa pun sebab kerja kita kuat itulah memberikan keputusan sebegitu rupa. Hari ini tidak ada sesiapa boleh nafikan persiapan BN untuk hadapi PRU adalah yang terbaik selepas terkena tsunami dua kali dan sudah tentu kita tidak mahu kali yang ketiga”, ujarnya.

Justeru menjelang PRU 14 ini jentera BN Muar jelasnya telah melipatgandakan gerakan kempen dan tingkatkan kesepaduan semua pihak.

“Kita pasti akhirnya pengundi akan dapat menilai parti mana yang mereka nampak baik. Dua-dua nampak baik tetapi ada satu lebih baik. Dua-dua pun ada kelemahan tetapi yang manakah kekuarangan kelemahan,“ katanya.

Untuk rekod, pada PRU 2013 yang lalu Razali menang dengan majori 1,646 undi. Pada PRU 2008 beliau menang dengan majoriti 4,661 undi dan PRU 2004 menang dengan majoriti 13,415. – UMNOOnline

Leave a Reply