Orang Pagoh Lebih Perlukan Parti Melebihi Kepentingan Individu – Ismail

Orang Pagoh Lebih Perlukan Parti Melebihi Kepentingan Individu – Ismail

PAGOH, 05 April – Suhu politik Parlimen Pagoh sejurus pemecatan bekas Timbalan Perdana Menteri yang juga Ahli Parlimennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin daripada UMNO boleh dikatakan sedikit sebanyak menganggu perjalanan dan persiapan jentera setempat dalam menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14.

Malah krisis yang melanda dan ribut di dalam parti pada waktu berkenaan menjadikan Pagoh cukup popular di kalangan rakyat negara ini dan umumnya setelah Muhyiddin menubuhkan parti baru dan bergandingan pula dengan mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menjadikan kawasan berkenaan cukup panas.

Krisis di dalam parti terus mencengkam kalangan pimpinan UMNO bahagian Pagoh malah pada waktu itu Timbalan Ketua UMNO bahagian, Hj Ismail Mohd yang kini pemangku Ketua bahagian berada dalam keadaan yang amat sukar dalam usaha memulihkan keyakinan dan kesepaduan di kalangan UMNO setempat.

“Memang di peringkat awal krisis pemecatan kita ada emosi, namun apabila difikirkan balik dan jumpa akar umbi akhirnya akar umbi bersedia dengan kita untuk terus bergerak ke depan. Begitu juga dengan masyarakat setempat… kita merasakan masyakat terus bersama kita apabila kita turun ke bawah  buat taklimat…buat program dan sebagainya mereka terus memberikan sokongan dan nampak perubahan dari segi gerak kerja yang kita buat”, katanya.

Menyingkap kembali sejarah lalu Hj Ismail berkata apa yang  Tan Sri Muhyiddin lalui dulu ketika Tan Sri ambil alih jawatan apabila mantan ketua UMNO bahagian tidak bersama dengan UMNO, itulah yang sedang beliau lalui hari ini.

“Alhamdulillah hari ini kita terus bergerak ke depan dengan masing-masing berusaha mengukuhkan parti.

“Kalau dikira soal simpati…sentimen simpati tu ada tetapi kita ingatkan orang kawasan ini bahawa Pagoh dibangunkan menerusi  parti  dan bukannya atas kapasiti individu. Individu boleh datang dan pergi. Sejarah yang berlaku di Pagoh sekarang adalah sejarah kali kedua pemimpin besar kita keluar daripada parti.

“Pada waktu itu masyarakat Pagoh memilih untuk terus kekal bersama parti dan keputusan berkenaan boleh dianggap tepat setelah melihat kepada apa yang ada di Pagoh hari ini. Jadi saya harap rakyat Pagoh sekali lagi akan berfikiran begitu bahawa perjuangan kita adalah untuk parti dan bukannya untuk individu. Soal jasa semua pemimpin di dalam UMNO dan BN berjasa dan kita ada sempadanlah apabila berlaku keadaan seperti hari ini…soal sekarang kita perlu teruskan,” ujarnya.

Beliau berkata demikian dalam wawancara khas bersama UMNO-Online, baru-baru ini.

Tambah Ismail yang juga Exco Kerajaan Johor, mereka bukanlah tidak menghargai pemimpin sebelum ini namun sudah sampai masa ketentuan yang berlaku, parti perlu terus bergerak ke depan bersama seluruh barisan kepimpinan untuk meneruskan kesinambungan di Pagoh.

“Sudah pasti saya ada visi dan misi untuk terus membangunkan Pagoh. Lebih-lebih lagi pembangunan yang sedang rancak berlaku di Pagoh dengan Hub Pendidikan, High Speed Rail yang akan melalui kawasan ini, pembangunan lain yang kita nak gerakkan  selain pembangunan modal insan yang kita dah susun, nak bangunkan lagi pembangunan rumah mampu milik dan pelbagai perancangan lain termasuklah komitmen daripada Perdana menteri, Datuk Seri Najib untuk terus memberikan perhatian terhadap Pagoh.

“…kalaulah rakyat tidak bersama dengan kita benda ini akan terjejas…itu sebab penerusan daripada segi kepimpinan dan kelangsungan BN untuk berkhidmat di Pagoh ni perlu diteruskan demi kepentingan masyarakat setempat. Inilah kenapa perlunya Pagoh terus kekal bersama dengan BN.

“Apa pun saya tidak mahu dilihat hanya saya tetapi dilihat parti…sesiapa pun yang jadi pemimpin di sini sejak daripada dahulu UMNO bersama BN adalah organisasi yang sentiasa membantu rakyat…susah..sakit..nak sambung belajar…hinggalah kepada soal rumah dan sebagainya. Daripada dulu lagi kita dah buat perkara seumpama ini. Tidak kira daripada parti mana pun kita bantu dan sesiapa yang perlukan bantuan pun kita akan bantu,” katanya.

Berhubung sasaran bekas ‘boss’ lamanya yang menjadikan Pagoh antara sasaran Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) pada PRU ke-14 akan datang, Ismail yang juga Ahli Dewan Undangan negeri (ADUN) Bukit Serampang berkeyakinan masyarakat  Pagoh dapat membuat penilaian dan pilihan yang sebaik mungkin.

“Alhamdulillah sehingga ke hari ini BN masih mendapat sokongan masyarakat setempat. Memang  saya sendiri rasa terperanjat juga apabila program yang dijalankan oleh PPBM tidak mendapat sambutan di kawasannya sendiri.

“Malah menjadi tanda tanya apabila kita buat program kehadirannya meriah  manakala mereka nak tubuhkan cawangan pun susah, nak buat mesyuarat cawangan pun susah …saya rasa di sini tidak sampai 10 cawangan mereka berjaya tubuhkan sedangkan Pagoh kita boleh katakan kubu mereka.

“Kenapa ini boleh berlaku…kita beranggapan masyarakat di sini tidak mahu berpecah belah dan sudah selesa dengan UMNO dan BN selain masyarakat setempat yang mahukan kita berkhidmat dengan lebih baik lagi. Mungkin lebih tinggi lagi harapan masyarakat Pagoh terhadap BN selepas ini dari segi idea dan sebagainya,“ ujarnya.

Kata beliau lagi penekanan utama di Parlimen berkenaan adalah terus mengekalkan permuafakatan dan perpaduan yang padu walaupun masing-masing berlainan parti.

“Kita dah terapkan di sini jangan bergaduh sesama kita walaupun berlainan fahaman kerana ini adalah kehidupan kita dan orang luar yang datang untuk melakukan perpecahan tidak akan membantu kita apabila kita memerlukan bantuan dan sebagainya. Belum tentu… Insya Allah kita jaga perpaduan rahmat Allah akan sentiasa bersama dengan kita,“ katanya – UMNOOnline

Leave a Reply