Johor Cadang Kerajaan Pusat Tambah Enam Lorong Lebuhraya Utara Selatan. @KhaledNordin

Johor Cadang Kerajaan Pusat Tambah Enam Lorong Lebuhraya Utara Selatan. @KhaledNordin

SEGAMAT, 3 Apr- Kerajaan Negeri Johor berharap kerajaan pusat dapat mempertimbangkan untuk menaik taraf kepada enam lorong di lebuh raya utara selatan (PLUS) daripada empat lorong ketika ini bagi menampung keperluan pengguna.

Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, permintaan berkenaan dilakukan bukan kerana berhadapan musim pilihan raya tetapi berasaskan keperluan Johor sebagai destinasi pelaburan terpenting di Malaysia.

“Johor bukan seperti dulu dan kini Johor adalah destinasi pelaburan utama dan terpenting di Malaysia. Malah sumbangan Johor kepada KDNK negara adalah hampir 10 peratus.

“Jumlah trafik di lebuhraya Johor adalah sangat tinggi serta lebuhraya yang sedia ada ketika ini sangat tidak mampu menampung keperluan masa depan Johor,” katanya.

Sementara itu, beliau menyifatkan pengumuman Segamat sebagai kawasan pertumbuhan baharu dalam Koridor Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) ketika ini akan membawa perubahan besar kepada taraf ekonomi penduduk setempat.

“Sesuatu yang dialukan kerajaan negeri, dengan ECER pastinya limpahan manfaat sangat luar biasa kepada masyarakat di Segamat.

“Daerah Mersing juga dimasukkan dalam ECER, daripada sebuah kawasan terpencil kini sudah menjadi sebagai hub pemprosesan ikan di Endau, hub tenusu di Jemaluang dan pelbagai projek insfrastruktur untuk membangunkan pulau-pulau termasuk penginapan homestay secara bersepadu dalam kawasan Mersing,” katanya.

Mohamed Khaled berkata, Negeri Johor adalah merupakan negeri paling banyak membina rumah mampu milik dan menawarkan harga paling rendah di negara ini.

“Menjelang tahun 2020, sebanyak 71,000 rumah RMMJ akan dibina di seluruh negeri ini”, katanya.

Leave a Reply