Muar Hab Pengeluaran Perabot Utama Negara. @KhaledNordin

Muar Hab Pengeluaran Perabot Utama Negara. @KhaledNordin

MUAR, 3 Apr – Muar merupakan hab pengeluaran perabot utama di Malaysia dan mencatatkan nilai eksport perabot sebanyak RM9.53 bilion atau menduduki tangga ke-8 sebagai pengeluar utama perabot di dunia serta menduduki tangga ke-3 di Asia Tenggara Bagi tahun 2016.

Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, pada tahun 2017, sektor berkenaan menyumbang RM3.7 bilion eksport ke pasaran global dan jumlah berkenaan sudah menyumbang kepada keseluruhan eksport negara dengan nilai eksport mencecah RM10.136 bilion.

“Yang lebih penting, Muar sahaja sudah menyumbang sebanyak lebih daripada 60% daripada keseluruhan nilai eksport Malaysia berkenaan.

“Ini merupakan satu nilai yang cukup besar, malah potensi Muar untuk terus muncul sebagai pemain global dalam industri perabot ini semakin besar dan cerah, katanya.

Mohamed Khaled berkata, Muar mempunyai kira-kira 700-800 buah kilang yang mengeksport 6000-7000 kontena sebulan ke 165 buah negara.

“Daripada 800 buah kilang berkenaan, sebanyak 200 buah adalah terdiri daripada kilang besar yang berorientasikan eksport, manakala 600 buah lagi adalah kilang kecil (sub-con atau vendor) yang menyokong sepenuhnya kilang-kilang besar.

“Rantaian main-con dan sub-con berkenaan saling berhubung kait, unik dan kuat dalam menentukan sumbangan besar industri perabot Muar.

“Syarikat-syarikat yang menjadi ahli kepada Muar Furniture Association (MFA) seperti Liihen, Po Huat, Wegmens dan Tafi sudah berjaya disenaraikan di pasaran bursa saham sama ada di dalam atau di luar negara, katanya.

Menurut beliau, berdasarkan prestasi berkenaan serta sumbangan besar Muar dalam eksport perabot Johor dan Malaysia, Kerajaan Negeri sudah mengambil inisiatif yang komprehensif untuk memperkasakan industri berkenaan.

“Kita percaya ianya sudah mempunyai asas yang kuat dan berpotensi besar. Jadi, ianya mesti terus dilonjakkan daan lonjakkan berkenaan penting atas beberapa sebab iaitu Johor memerlukan kedinamikan baru untuk ekonominya dan mesti mempelbagaikan ekonominya agar terus tumbuh secara konsisten.

“Seterusnya Johor harus menambah baik industri berkenaan agar dapat memberikan nilai tambah yang lebih besar, malah ianya akan membantu berlakunya inovasi dan rangsangan baharu dalam sektor ini, katanya.

Leave a Reply