Wanita UMNO Johor Siap Sedia Digerakkan – Haslinda

Wanita UMNO Johor Siap Sedia Digerakkan – Haslinda

KUALA LUMPUR, 30 Mac- Wanita UMNO Johor berada dalam keadaan siap siaga dan bersedia untuk digerakkan pada bila-bila masa bagi membantu Barisan Nasional (BN) negeri pada pilihan raya umum akan datang.

Setiausahanya Haslinda Salleh berkata seluruh barisan kepimpinan dan jentera di pelbagai peringkat telah memasuki fasa akhir persiapan dan pada peringkat akhir ini tumpuan diberikan kepada beberapa perkara dan segala persiapan lain yang belum selesai sepenuhnya.

“Kekuatan jentera Jalinan Rakyat (JR) secara keseluruhannya mempunyai gerak atur yang tersusun selain mempunyai gerak kerja yang tidak bermusim. Ini memberi sedikit kelebihan untuk kita bergerak apabila paluan gendang pilihan raya bermula.

“Arahan daripada pucuk pimpinan baik diperingkat pusat dan negeri kita telah selaraskan berdasarkan keperluan dan kedudukan semasa. Oleh itu sehingga ke hari ini segala persiapan dan kesiapsiagaan kita berada dalam keadaan baik dan berharap terus kekal apabila pilihan raya umum ke-14 diumumkan nanti,” katanya kepada UMNO-Johor.

Haslinda seterusnya menegaskan gerak kerja JR yang bermula sejak sekian lama dan bukannya pada waktu tertentu memperlihatkan keseriusan untuk bersama-sama dengan jentera parti lain dalam mempertahankan kemenangan BN di negeri selatan tanah air itu.

Apa yang penting pada waktu ini kata beliau lagi jentera JR diingatkan agar tidak mudah terperangkap dengan permainan politik pihak lawan terutama perkara-perkara yang boleh menjejaskan pergerakan JR di semua peringkat.

“Kami bukan membuat kerja pada saat akhir, malah sentiasa memberi perkhidmatan sepanjang masa. Malah pada saat-saat akhir seperti waktu ini, apa yang penting jentera JR memusatkan segala tumpuan bagi memastikan kemenangan BN di Johor,” katanya.

Leave a Reply