Pilihlah Calon Komited Perjuang Nasib Rakyat, Bukan Calon Nomad – TPM

Pilihlah Calon Komited Perjuang Nasib Rakyat, Bukan Calon Nomad – TPM

JOHOR BAHRU, 30 Mac  — Rakyat harus menolak calon nomad sebaliknya pilihlah calon yang komited memperjuangkan nasib dan kesejahteraan rakyat, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata cukuplah kesan-kesan negatif yang ditinggalkan calon-calon nomad ini yang hanya datang lima tahun sekali ke sesuatu kawasan pilihan raya itu.

“Mana mungkin seseorang yang dipillih atas dasar kemarahan, kekecewaan dan disebabkan menolak establishment (dapat berkhidmat). Akhirnya kita (rakyat) terpaksa menerima akibat atas salah pilih berkenaan,” katanya.

Berucap merasmikan majlis penyerahan kunci pangsapuri penempatan semula Desa Jaya di sini hari ini, Ahmad Zahid berkata usaha segelintir pihak yang meletakkan calon nomad, lima tahun sekali (di sesuatu kawasan pilihan raya) hanyalah sekadar mahu meniup lagu kebencian kepada rakyat dan kemudian meninggalkan masalah di situ sebelum beralih ke kawasan lain pula.

Ahmad Zahid memuji kepimpinan Anggota Parlimen Johor Bahru Tan Sri Shahrir Abdul Samad yang berjaya membawa dan memperjuangkan nasib rakyat sehingga dapat direalisasikan dengan bantuan kerajaan negeri dan kerajaan pusat.

“Saya bangga dengan Tan Sri Shahrir, dari zaman muda sehingga sekarang, dari zaman rambut lebat sehingga kurang lebat namun perjuangan beliau tidak pernah luntur,” kata timbalan perdana menteri.

Katanya kepimpinan Shahrir merupakan suatu terjemahan dan kejayaan yang ada hubung kait dengan kepimpinan akar umbi yang berjaya menyuarakan hasrat melalui wakil yang dipilih.

“Ia juga tidak mungkin berjaya sekiranya tiada keselarian dan kesepakatan antara kerajaan negeri dan kerajaan pusat dan perkara-perkara ini tidak mustahil dilaksanakan sebab kita berada di bawah panji-panji yang sama.

“Panji-panji di sini (negeri) dan Putrajaya adalah sama. Harus ada hubung kait… kekuatan ini berkesinambungan untuk rakyat seluruhnya,” kata beliau.

Terdahulu, Ahmad Zahid meluluskan peruntukan RM8 juta untuk kawasan Parlimen Johor Bahru dengan pembahagian RM5 juta bagi kerja mengecat semula 2,720 unit pangsapuri di empat petempatan — Desa Belantik, Desa Melayu, Desa Dato Hajah Hasnah dan Desa Jaya, RM1 juta untuk menambah baik dewan di Kampung Kurnia, dekat Larkin dan RM2 juta untuk diagihkan kepada persatuan-persatuan komuniti, persatuan kepolisan dan badan bukan kerajaan di kawasan Parlimen itu.

Selain itu, Ahmad Zahid turut menyampaikan kunci kepada sebahagian penerima rumah penempatan semula Desa Jaya di sini.

Selain Shahrir, turut hadir pada majlis itu adalah Menteri Besar Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, Timbalan Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Halimah Mohamed Sadique dan Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Azmi Rohani. -Bernama

Leave a Reply