Semangat Anggota BN Dalam Kedudukan Terbaik Untuk Mengekalkan Rentak Kemenangan BN Dalam PRU14

Semangat Anggota BN Dalam Kedudukan Terbaik Untuk Mengekalkan Rentak Kemenangan BN Dalam PRU14

JOHOR BAHRU, 29 Mac – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sri Medan, Datuk Zulkurnain Kamisan penuh yakin pelancaran Jentera Barisan Nasional (BN) Johor akan melonjakkan lagi semangat seluruh jentera parti untuk menghadapi Pilihan raya Umum (PRU) ke-14 yang akan diadakan dalam tempoh terdekat.

Menurut beliau semangat yang berkobar-kobar dikalangan jentera untuk membantu parti hari ini tentunya akan dapat dilipatgandakan dengan pelancaran jentera berkenaan yang akan disempurnakan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi pada Jumaat.

“Kita percaya seluruh jentera parti berada dalam ‘mood’ terbaik untuk menghadapi PRU-14 dan di Johor ini tentunya kita akan sama-sama berusaha dan sama-sama bertekad untuk membantu kemenangan parti sekaligus mengekalkan kejayaan BN menerajui negeri kelak, insya Allah.

“Suntikan semangat dan suntikan kata-kata perangsang daripada pucuk pimpinan diyakini akan menjadi nilai tambah kepada kesiapsiagaan kita hari ini dan semestinya inilah yang sama-sama dinantikan,” katanya kepada UMNO-Johor, di sini, hari ini.

Katanya lagi BN negeri di bawah kepimpinan Pengerusi BN Johor, Datuk Mohamed Khaled Nordin telah merangka pelbagai strategi dan merangka pelbagai perancangan untuk sama-sama diadaptasi bagi melahirkan kejayaan pada PRU nanti.

“Tinggal beberapa hari sahaja lagi untuk kita sama-sama berikhtiar dan sama-sama menjalankan tugas serta tanggungjawab masing-masing. Kita di Parit Sulong insya Allah telah bersedia sepenuhnya utuk membantu kemenangan parti.

“Dan keyakinan kita juga adalah dapat membantu BN menubuhkan kerajaan negeri sejurus PRU-14 berakhir dan sama-sama kita doakan majlis pelancaran Jentera BN Johor Jumaat ini berjalan lancar,” tambahnya yang juga Ketua UMNO Bahagian Parit Sulong.

Katanya lagi asakan pembangkang untuk bertapak kemas di negeri selatan tanah air sememangnya sesuatu yang dijangka dan tentunya jentera BN Johor sedia menghadapi asakan terbabit.

“Kita percaya rakyat Johor akan melihat kepada parti yang telah terbukti dan bukannya kepada isu-isu yang diutarakan oleh pembangkang dan apa yang dilaksanakan oleh kerajaan negeri selama ini boleh menjadi sandaran dalam membuat pilihan pada PRU nanti,” katanya.

Leave a Reply