Sasar Penggunaan 35% Sistem Pengangkutan Awam BRT Menjelang 2021

Sasar Penggunaan 35% Sistem Pengangkutan Awam BRT Menjelang 2021

JOHOR BAHRU 28 Mac – Kerajaan negeri menjangkakan jumlah pengguna pengangkutan awam akan meningkat kepada 35 peratus apabila projek Bas Rapid Transit (BRT) Iskandar Malaysia (IMBRT) mula beroperasi pada 2021.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah negeri, Datuk Ir. Hasni Mohammad berkata, setakat ini kira-kira 15 peratus pengguna kenderaan persendirian menggunakan perkhidmatan awam di negeri ini.

Beliau berkata, peratusan pengguna itu dijangka meningkat dengan adanya sistem pengangkutan awam yang sistematik dan efisien serta selesa.

“Dalam tempoh setahun ini, Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA) akan membuat perancangan pembangunan projek BRT termasuk reka bentuk stesen, pengambilan ta­nah dan mendapatkan maklum balas pelbagai pihak berkaitan.

“Kita menjangkakan mene­rusi BRT yang dijangka mula dilaksana­kan tahun depan, jumlah pengguna kenderaan ini mampu mencapai daripada 15 peratus kepada 35 peratus sebaik mula beroperasi kelak,” katanya selepas merasmikan ruang pame­ran informasi IMBRT di Larkin Sentral, di sini semalam.

Yang turut hadir, Ketua Eksekutif IRDA, Datuk Ismail Ibrahim dan Pengarah IMBRT, Rudyanto Azhar.

Ruang pameran itu bertujuan memberi maklumat kepada masyarakat, membolehkan mereka memberi pandangan serta cadangan untuk menambah baik pengangkutan awam di negeri ini, khususnya IMBRT bermula hari ini hingga hujung tahun ini.

Dalam pada itu, Hasni berkata, projek pembangunan pengangkutan awam sedang dan akan dibangunkan di negeri ini seper­ti IMBRT, Sistem Rapid Transit (RTS) Johor Bahru-Singapura, Tren Berkelajuan Tinggi (HSR) serta Landasan Berkembar Elektrik Gemas-Johor Bahru (PLBEGJB) akan memberi manfaat kepada lebih 500 kontraktor tempatan.

“Kesemua projek pembangunan ini adalah satu pelaburan baharu yang akan dimajukan di Johor. Jadi, ini membuka peluang kepada kontraktor tempatan untuk menyumbang kepada negeri, kalau bukan mereka, siapa lagi.

“Kerajaan negeri juga me­ngambil inisiatif mewujudkan Pusat Pembangunan Kontraktor Johor (JCCD) untuk memberi ruang kepada pengusaha syarikat pembinaan mendapatkan informasi berkaitan, sekali gus mere­but peluang yang ada,” katanya.

Oktober lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan BRT bakal menjadi tulang belakang infrastruktur pengangkutan awam di wilayah pembangunan Iskandar Malaysia untuk tempoh dua dekad akan datang.

Kos pelaksanaan BRT kira-kira RM2.56 bilion dibiayai menerusi kerajaan Pusat sebanyak RM1 bi­lion, manakala bakinya menerusi kerjasama swasta-awam. © Utusan Melayu (M) Bhd

Leave a Reply