Penglibatan Semua Rakyat Penting Jayakan Gagasan Johor Berkemajuan

Penglibatan Semua Rakyat Penting Jayakan Gagasan Johor Berkemajuan

JOHOR BAHRU, 26 Mac — Penglibatan semua pihak merupakan faktor penting dalam menjayakan Gagasan Johor Berkemajuan.

Menteri Besar Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata adalah menjadi satu cabaran untuk menggerakkan semua pihak berkepentingan untuk bersama-sama menerima dan menjayakan misi ini.

“Semua rakyat Johor mesti menjiwai cita-cita ini dan menyumbang kudrat serta pemikiran mereka dan misi ini mesti diupaya dan digerakkan oleh rakyat; bukan sahaja kerajaan.

“Misi yang besar tidak akan dapat dicapai jika pemikiran dan cara bekerja kita masih lagi cara lama dan di takuk lama dan ini merupakan satu cabaran yang sangat besar,” katanya ketika berucap merasmikan Konvensyen Johor Berkemajuan dan Koleksi Khazanah Intelektual Johor di Universiti Teknologi Malaysia (UTM), di sini, hari ini.

Turut hadir Setiausaha Kerajaan Negeri Johor Datuk Azmi Rohani, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Datuk Md Jais Sarday dan Naib Canselor UTM Datuk Dr Ir Wahid Omar.

Mohamed Khaled turut menekankan dalam masa sepuluh tahun akan datang, Johor akan menyaksikan dekad yang penuh dengan pertumbuhan ekonomi yang agresif dan peningkatan kesejahteraan rakyatnya secara transformatif sekaligus merealisasikan visi besar Gagasan Johor Berkemajuan.

“Pada saya, ia bukan sekadar pelan pembangunan dan rangsangan pemikiran untuk bergerak ke hadapan.

“Tetapi, ia sebenarnya adalah instrumen kerajaan negeri memberi keseimbangan dan kesederhanaan dalam pembangunan ekonomi dan dalam amalan politik,” kata beliau.

Selain itu, gagasan tersebut turut memberi keseimbangan dalam pembangunan mental, emosi dan sahsiah serta kesederhanaan dalam amalan beragama dan hidup berbudaya.

Sepuluh aspirasi Gagasan Johor Berkemajuan merangkumi Johor sebagai kuasa ekonomi selatan, perumahan Johor, keusahawanan Johor, Johor lestari, Johor Islami, Johor berkemahiran, Johor prihatin, Johor berbudaya, Johor Connectivity, dan Johor Selamat.

Leave a Reply