RM3.6j Sagu Hati Nelayan

RM3.6j Sagu Hati Nelayan

PONTIAN 22 Mac – Seramai 1,814 nelayan di kawasan Johor Selatan menerima bayaran sagu hati RM3.6 juta daripada Tabung Pembangunan Nelayan (TPN) bagi mengurangkan beban hidup mereka.

Bayaran itu melibatkan nelayan di Tanjung Piai, Johor Bahru, Pulai, Gelang Patah, Pasir Gudang dan Tebrau yang terjejas pendapatan akibat aktiviti pembangunan di persisir pantai.

Pengerusi Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Johor Selatan, Azli Mohamad Aziz berkata, sagu hati tersebut dijadualkan selesai dibayar sepenuhnya pada minggu depan.

“Sebahagian besar nelayan di kawasan Johor Selatan merupakan nelayan pantai serta tradisional yang menggunakan bot atau sampan untuk menjaring ikan, udang dan sebagainya.

“Sagu hati ini cukup besar maknanya kepada kami yang berpendapatan rendah dan memerlukan perbelanjaan yang banyak terutama bagi anak-anak yang masih bersekolah,” katanya dalam Majlis Penyampaian Sumbangan Kepada Nelayan di Kompleks Penghulu Mukim Serkat, dekat sini semalam.

Yang turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kukup, Suhaimi Salleh; Pegawai Daerah Pontian, Mohd. Shukri Mohd. Masbah dan Pengarah Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) negeri, Aziz Rosdi.

Azli berkata, pembayaran sagu hati itu bukan insentif baharu sebaliknya sudah dilaksanakan sejak empat tahun lalu bagi membantu mereka yang terjejas hasil tangkapnya.

Sementara itu, Suhaimi berkata, penerima di Tanjung Piai merupakan yang paling ramai iaitu 654 nelayan berbanding di kawasan Parlimen lain di bawah PNK Johor Selatan.

Menurut beliau, nilai keseluruhan sumbangan diterima nelayan Tanjung Piai berjumlah RM1.3 juta dengan setiap mereka menerima RM2,000.

“Memandangkan pendapatan nelayan ketika ini tidak menentu, mereka perlu menggunakan pemberian ini dengan sebaik mungkin terutama bagi kegunaan keluarga dan tabungan kecemasan.

“Masyarakat nelayan di Tanjung Piai cukup beruntung kerana kerajaan negeri melalui TPN begitu prihatin dan mengambil berat masalah yang dihadapi mereka,” katanya. @Utusan

Leave a Reply