China Hantar Pasukan Penyelam Bantu Cari Kru Kapal Hilang

China Hantar Pasukan Penyelam Bantu Cari Kru Kapal Hilang

MUAR, 22 Mac — China menghantar satu pasukan penyelam untuk membantu operasi mencari dan menyelamat 14 kru dipercayai terperangkap di dalam kapal korek pasir milik syarikat China yang terbalik di perairan Johor semalam.

Kaunselor Kedutaan China di Kuala Lumpur Liu Dongguan dalam sidang media di sini hari ini berkata pasukan penyelam itu adalah daripada SOS Maritime Centre di Guandong, China.

“Mereka telah terbang ke Kuala Lumpur awal hari ini dan akan ke lokasi kejadian di 8.5 batu nautika dari perairan Parit Jawa dekat sini, yang mana JBB Rong Chang 8 yang membawa 18 anak kapal, terbalik,” katanya.

Seorang daripada kru kapal itu ditemukan lemas dan tiga lagi terselamat manakala 14 orang dikhuatiri hilang.

Liu berkata Duta China ke Malaysia, Bai Tian sangat prihatin terhadap kejadian yang berlaku dan berterima kasih atas semua bantuan yang diberikan kerajaan Malaysia.

Kedutaan China mempunyai keyakinan penuh terhadap operasi menyelamat yang dijalankan pihak  berkuasa Malaysia, katanya.

“Kami dukacita dengan kejadian yang berlaku semalam. Agensi Malaysia khususnya Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) memberikan kami bantuan yang baik.

“Kami berharap dapat bekerjasama dengan kerajaan Malaysia. Kedutaan akan mengikuti kes ini hingga akhir. Kami akan cuba membantu mangsa dan keluarga mereka,” katanya.

Leave a Reply