BN Sekijang Tekad Dan Yakin Pertahan Kemenangan 3-0 Pada PRU 14

BN Sekijang Tekad Dan Yakin Pertahan Kemenangan 3-0 Pada PRU 14

KUALA LUMPUR, 22 Mac – Barisan Nasional (BN) Sekijang bertekad untuk memastikan kejayaan rekod kecemerlangan 3-0 yang dicapai sebelum ini terus dikekalkan dalam Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang dalam usaha membantu parti membentuk kerajaan di peringkat negeri Johor dan juga kerajaan pusat, demikian menurut Ahli Parlimen Sekijang, YB Anuar Manap.

Menurut beliau dengan komitmen serta semangat muafakat yang ditunjukkan oleh seluruh jentera parti di bahagian terbabit bukan perkara yang mustahil untuk mengekalkan keputusan pada pilihan raya umum yang lalu lalu malah menang dengan majoriti yang meningkat.

“Dalam pilihan raya sebelum ini kita mencacat kemenangan di Parlimen Sekijang serta menang di dua Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Pemanis dan Kemelah. Justeru pada kali ini insya Allah kita sama-sama kekalkan kemenangan berkenaan dengan majoriti berganda.

“Pembangkang kita tahu dan sedar mereka keluar masuk ke kawasan ini dengan meracuni pelbagai maklumat yang tidak tepat terhadap penduduk selain mencari kelemahan yang ada pada jentera parti. Sebab itu pada saat-saat genting ini kita (jentera parti) fokus ke depan dan tidak melayani sebarang fitnah yang dijaja oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

“Lagi pun pembangkang ini hanya nampak pada waktu sebegini sahaja. Pada hari inilah mereka masuk kawasan kononnya sebagai penyelesaian kepada masalah…mereka masuk kononnya untuk mendengar masalah rakyat…tetapi ianya adalah seballiknya kerana mencari serta manipulasi isu semata-mata,“ katanya kepada UMNO-Online, di sini, hari ini.

Anuar seterusnya menegaskan pembangkang datang dan pergi namun apa yang penting adalah seluruh jentera parti terus berpegang kepada saranan dan amanah oleh pucuk pimpinan yang memberi penekanan kepada soal semangat untuk menang dan bekerja dalam satu pasukan.

“Ini adalah masa untuk kita di semua peringkat jentera bekerjasama antara satu dengan yang lain dan tidak lagi menoleh ke belakang serta melayani perkara-perkara yang tidak sepatutnya. Kita telah sama-sama bekerja sekian lama dan kini adalah masa untuk kita bekerja dan mencurahkan segala-galanya.

“Ingat pesan Presiden kita…‘winning metality‘ dan ‘solidarity‘ adalah kunci kepada segala-galanya. Biar apa pun tohmahan yang datang jentera kita tetap dengan gerakan memberikan penerangan di akar umbi sebaik mungkin.

“Gerak kerja kita yang tidak bermusim memberi kelebihan. Pengisian program mengikut kehendak sasaran seperti golongan muda, wanita muda dan masyarakat setempat lain memberi banyak faedah kepada rakyat dan daripada situlah mereka dapat membuat penilaian antara retorik serta manipulasi dengan mereka yang melaksanakan tanggungjawab yang diberikan selama ini,” ujarnya. -UMNOOnline

Leave a Reply