Chin Tong pindah sebelum dihukum pengundi sendiri – Bastien

Chin Tong pindah sebelum dihukum pengundi sendiri – Bastien

KUALA LUMPUR: Pengumuman Liew Chin Tong yang akan meninggalkan kerusi Parlimen Kluang dan mempertaruhkan nasib di Ayer Hitam dilihat parti lawan sebagai bukti ketakutan Pengerusi DAP Johor itu menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) nanti.

Ketua Pemuda UMNO Bahagian Segamat, Bastien Onn mendakwa, ketakutan Chin Tong itu dipercayai lahir dari magnitud gerak kerja kepimpinan Barisan Nasional (BN) di Kluang, dengan diketuai Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Negeri Johor, Datuk Md Jais Sarday.

“Pasukan BN di sana dikatakan bekerja siang dan malam untuk memenangi hati dan perasaan pengundi Kluang.

“Kalau Pakatan Harapan (PH) merasakan dapat lari dan menyelamatkan anak emas Lim Kit Siang ini dari hilang dari persada politik pasca PRU14, mereka sebenarnya sudah melakukan satu kesilapan besar,” kata Bastien semasa dihubungi pada Ahad.

Sebelum ini, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng mengumumkan Chin Tong akan meninggalkan kerusi Parlimen Kluang dan mempertaruhkan nasibnya di Ayer Hitam pada PRU14.

Saingan getir bakal menanti Chin Tong yang dijangka berdepan cabaran penyandang kerusi tersebut Datuk Seri Wee Ka Siong yang juga Timbalan Presiden MCA.

Dalam pada itu tegas Bastien, BN Johor akan memastikan Chin Tong tidak akan menang walaupun bertukar ke mana-mana kawasan.

“Dia mungkin boleh lari dari dihukum oleh pengundi Kluang, tetapi pengundi Ayer Hitam akan diberitahu tentang prestasi buruk perkhidmatannya di Kluang.

“Inilah strategi mereka, selain memindah pengundi, Ahli Parlimen juga dipindahkan.

“Rakyat di seluruh negara akan disedarkan bahawa selain menghasut dan menerbitkan kebencian rakyat kepada kerajaan, pembangkang juga mempunyai ‘track record’ tidak memberi khidmat kepada pengundi mereka,” ujarnya.

Kata Bastien lagi, umum turut mengetahui bahawa Kit Siang sepi tanpa berita di Gelang Patah.

“Penduduk di Gelang Patah sudah patah hati apabila membandingkan khidmat yang diterima jiran mereka di Parlimen Pulai dan Johor Bahru di mana Ahli Parlimennya sering tampil menyelesaikan masalah penduduk.

“Tan Sri Shahrir Abdul Samad dan Datuk Nur Jazlan Mohamed mendekati pengundi mereka dengan cukup rapat. Ini dicerumbui pengundi di Parlimen Gelang Patah sendiri.

“Jadi, tidak pelik jika Kit Siang juga mengintai untuk berpindah. Mereka semua berasa kepanasan untuk menawarkan diri sekali lagi. Mereka tahu bahawa mereka tidak mampu untuk berhadapan dengan pengundi dan mengulangi janji-janji harapan palsu yang sama,” jelasnya.

Katanya, strategi pembangkang kini adalah cepat-cepat berpindah sebelum sempat dihukum oleh pengundi mereka sendiri.

“Pindahlah ke mana pun. Pengundi Johor sudah bertekad dan akan berkerjasama erat dengan BN untuk memastikan bahawa negeri ini kekal sebagai kubu kuat BN,” tegasnya.

Pengerusi BN Johor Dato’ Mohamed Khaled Nordin sebelum ini berkata, hasil kajian mendapati mutu perkhidmatan wakil rakyat parti pembangkang di setiap kawasan diwakili adalah rendah malah ada di antara mereka tidak dikenali masyarakat setempat. – AstroAwani

Leave a Reply