BN Tidak Abaikan Batu Pahat

BN Tidak Abaikan Batu Pahat

BATU PAHAT- Hampir lima tahun di bawah ‘jagaan’ wakil rak­yat pembangkang, Bandar Batu Pahat yang dahulunya pesat membangun dan terkenal de­ngan hidangan nasi beriani gam seakan-akan ‘suram’ seperti memahami jiwa penduduknya yang dahagakan kemajuan.

Malah, tinjauan Utusan Malaysia baru-baru ini dimaklumkan penduduknya tidak sabar untuk menanti ‘paluan gendang’ Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) untuk memilih wakil rakyat baharu yang dirasakan mampu membawa kemajuan pesat untuk daerah ini.

Bukan sahaja warga bandar, malah penduduk desa amat ‘mengidamkan’ pembangunan pesat dan wakil rakyat Barisan Nasional (BN) tetap menjadi sandaran mereka bagi mencapai aspirasi dan hasrat berkenaan.

Jika warga Johor Bahru menikmati pelbagai pembangunan seperti kawasan perumahan baharu yang kondusif, kemudahan rekreasi dan bersukan serta sistem pengangkutan lebih baik, penduduk Batu Pahat juga ingin merasai nikmat pembangunan serupa.

Lebih mendukacitakan, wakil rakyat pembangkang yang dipilih pada PRU-13 didakwa gagal me­laksanakan tugas seperti diharapkan dan banyak isu serta masalah rakyat yang diselesaikan oleh pemimpin BN.

Misalnya, masalah banjir di Sungai Suloh, Senggarang yang menjejaskan kehidupan kira-kira 700 penduduk kerana terpaksa berpindah ke pusat sementara dan isu itu dapat diselesaikan bekas Ahli Parlimen Batu Pahat, Datuk Dr. Mohd. Puad Zarkashi yang memohon peruntukan sebanyak RM12 juta daripada Kerajaan Pusat bagi melebar dan mendalamkan sungai berkenaan.

Selain itu, bekas Timbalan Menteri Pendidikan berkenaan turut memohon peruntukan sebanyak RM220 juta dalam Rancangan Malaysia Kesebelas (RMK-11) bagi menangani masalah hakisan pantai sepanjang 30 kilometer dari Punggur, Rengit hingga ke Semerah kerana telah menjejaskan keindahan pantai dan kawasan rekreasi di situ.

Bagi mengurangkan kesesakan trafik di Bandar Penggaram, Mohd. Puad telah meminta pihak Majlis Perbandaran Batu Pahat (MPBP) menjalankan kajian menyeluruh untuk mengatasi sistem lalu lintas di situ demi keselesaan pengguna, khususnya penduduk setempat.

Walaupun tewas pada PRU-13, namun Mohd. Puad dan pe­mimpin UMNO dan BN Batu Pahat tidak pernah ‘merajuk’ dan berjauh hati, malah terus menabur bakti serta berkhidmat kepada masyarakat.

Malah, setiap minggu ada sahaja program yang dilaksanakan untuk menyantuni masyarakat berbilang kaum, antaranya Program Mingguan Ziarah Kasih yang wajib dianjurkan di tiga kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam Parlimen berkenaan iaitu DUN Renggit, DUN Senggarang dan DUN Penggaram.

Pada program berkenaan, pihaknya akan melawat empat rumah golongan miskin, ibu tunggal, warga emas, pesakit kronik dan orang kurang upaya (OKU) setiap minggu sambil me­nyampaikan sumbangan bara­ngan keperluan harian, peralatan se­perti kerusi roda dan katil boleh dilaraskan berdasarkan keperluan mereka.

Menerusi program tersebut yang dilaksanakan selama 213 ming­gu bermula Oktober 2013 hingga kini, pihaknya berjaya menziarahi 649 rumah dan te­lah menghulurkan sumbangan bernilai kira-kira RM330,000.

Justeru, ini jelas membuktikan kepemimpinan UMNO dan BN Batu Pahat sentiasa mengambil berat kebajikan dan kesejahtera­an rakyat walaupun tewas pada PRU-13.

Namun, bagi mendepani PRU-14, Mohd. Puad berkata, usaha BN Batu Pahat bukan omong-omong kosong, malah akan disertai de­ngan usaha gigih bagi menawan semula kerusi Parlimen Batu Pahat dan DUN Penggaram yang dimenangi Pakatan Harapan. © Utusan Melayu (M) Bhd

Leave a Reply