MCA dijangka adakan perhimpunan raksasa di Ayer Hitam

MCA dijangka adakan perhimpunan raksasa di Ayer Hitam

JOHOR BAHRU, 18 Mac  — MCA dijangka mengadakan perhimpunan raksasa di kawasan Parlimen Ayer Hitam sebagai memberi petanda awal bahawa parti itu tidak semudahnya membiarkan kawasan berkenaan jatuh ke tangan pembangkang pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

Presiden MCA Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata pihaknya akan merancang perhimpunan itu secepat mungkin bagi menghalang tindakan berterusan pembangkang memainkan emosi rakyat.

Ini susulan tindakan DAP, parti sekutu dalam Pakatan Harapan (PH) yang mengumumkan Pengerusi DAP Johor Liew Chin Tong sebagai calon untuk bertanding di kerusi terbabit menentang Timbalan Presiden MCA Datuk Seri Wee Ka Siong.

“Seperti yang kita tahu, emosi rakyat telah diapi-apikan oleh pembangkang dan pembangkang mahir dalam memecah belahkan rakyat di negara ini.

“Jadi, kita perlu mempertahankan kerusi kita dan memberitahu kepada rakyat wajah sebenar DAP,”katanya dalam sidang media selepas merasmikan Perhimpunan Perkukuhkan Team Johor yang dihadiri lebih  5,000 masyarakat Cina di Dewan Serbaguna Johor Jaya  di sini, hari ini.

Liow berkata demikian sebagai mengulas pengumuman Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng yang menamakan Liew sebagai calon PH ketika sambutan ulang tahun ke-52 DAP di Pusat Pilihanraya PH di Ayer Hitam, hari ini.

Liow berkata pihaknya tidak gentar akan penamaan itu kerana menyifatkan rakyat setempat pasti akan menyokong penyandang sedia ada.

Katanya, Liew bukanlah seorang anggota parlimen yang bertanggungjawab kerana sepanjang menjadi wakil rakyat di Kluang, beliau gagal menyelesaikan masalah penduduk setempat termasuk berhubung pembinaan Landasan Berkembar Elektrik Gemas-Johor Bahru di Kluang yang mencetuskan kebimbangan ekoran perancangannya yang kurang sesuai.

Mengulas isu lain, Liow yang juga Menteri Pengangkutan berkata pihaknya menyambut baik cadangan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang mungkin mengumumkan calon Barisan Nasional (BN) bagi PRU-14 lebih awal.

Beliau berkata, langkah itu akan membantu pihaknya dan juga parti-parti komponen untuk menyiapkan jentera lebih awal bagi memastikan ia berfungsi sebaiknya dalam menjalankan kerja-kerja parti.

“Kita dah buat persiapan jentera PRU dan yakin apabila mengumumkan calon lebih awal dapat membantu kita untuk persiapan menghadapi PRU,”katanya.

Leave a Reply