Shahrir : 80 Peratus Manifesto Pembangkang Berkenaan Felda Sudah Dilaksana BN

Shahrir : 80 Peratus Manifesto Pembangkang Berkenaan Felda Sudah Dilaksana BN

KUALA LUMPUR, 15 Mac – Sebanyak 80 peratus iltizam Pakatan Harapan dalam manifesto pilihan raya umum  ke-14 (PRU14) berkenaan Felda sudah dan sedang dilaksanakan kerajaan Barisan Nasional (BN), kata Pengerusi Felda Tan Sri Shahrir Abdul Samad.

Beliau berkata janji-janji yang diberikan pakatan pembangkang kepada peneroka Felda tidak munasabah dan menunjukkan mereka tidak memahami sistem dan urus tadbir Felda.

“Contohnya dalam iltizam mereka (Pakatan Harapan) menyebut pelupusan 50 peratus daripada hutang peneroka sedia ada, sedangkan ada lebih 7,000 peneroka yang sifar hutang.

“Bayangkan kalau dilupuskan RM5,000 bagi setiap peneroka yang berhutang, bagaimana pula mereka yang sifar hutang. Ini tidak adil kepada mereka. Malahan jumlah hutang para peneroka juga berbeza,” katanya dalam sidang media khas menjawab Manifesto Pakatan Harapan Berkaitan Felda di Menara Felda, di sini, hari ini.

Sebaliknya katanya, pendekatan yang dilakukan oleh BN lebih bersifat holistik dan memberi faedah kepada semua iaitu hutang peneroka dilupuskan sebanyak RM5,000, manakala bagi peneroka yang sifar hutang akan menerima wang tunai RM5,000.

Pakatan Harapan dalam manifesto yang dilancar baru-baru ini mengemukakan lima iltizam khusus untuk warga Felda antaranya menyusun semula tadbir urus Felda; dan membela nasib peneroka dan mengurangkan beban mereka.

Shahrir berkata janji pakatan pembangkang untuk mentransformasikan Felda telah dilaksanakan oleh BN melalui Felda 2.0 yang akan memberi wajah baharu kepada 317 kawasan tanah rancangan Felda di negara ini, yang bermula dengan Felda Lurah Bilut di Bentong, Pahang.

Katanya kerajaan BN juga mempunyai perancangan yang lebih tersusun dan terancang untuk meningkatkan lagi pendapatan peneroka antaranya merancakkan aktiviti pelancongan melalui ekopelancongan dan agropelancongan di kawasan tanah rancangan Felda.

Selain itu, katanya penglibatan wanita dalam Lembaga Pengarah Felda juga akan ditambah melalui pelantikan seorang lagi anggota wanita dalam kalangan generasi kedua Felda dalam masa terdekat.

Kini Felda hanya mempunyai seorang anggota lembaga pengarah wanita yang memegang jawatan sebagai Ketua Penerokawati Wilayah Raja Alias di Negeri Sembilan iaitu Ramlah Jelani.

Leave a Reply