Piala AFC: JDT Tewaskan Tampines Rovers 2-1

Piala AFC: JDT Tewaskan Tampines Rovers 2-1

JOHOR BAHRU, 14 Mac – Pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) memanfaatkan kelebihan beraksi di laman sendiri apabila menewaskan Tampines Rovers 2-1 dalam saingan Kumpulan H Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) di Stadium Tan Sri Dato’ Haji Hassan Yunos di sini, malam ini.

Tanpa menurunkan barisan pemain import, JDT masih mampu menguasai perlawanan apabila menjaringkan gol pertama seawal minit ke-12, hasil rembatan Muhammad Safawi Rasid yang menyempurnakan hantaran S. Kunalan.

Ketinggalan satu gol menyaksikan pasukan pelawat dari Singapura itu tidak berputus asa dan terus mengasak gawang JDT untuk gol penyamaan, namun percubaan demi percubaan mereka tidak berjaya.

Bagaimanapun, seminit sebelum tamat separuh masa pertama, pasukan kendalian Jurgen Raab itu, berjaya mengikat kedudukan 1-1 apabila pengadil perlawanan dari Iran, Payam Heidari menghadiahkan sepakan penalti setelah Corbin Ong mengasari pemain pasukan pelawat.

Sepakan penalti yang disempurnakan Khairul Amri itu gagal diselamatkan penjaga gawang skuad Harimau Selatan, Muhammad Haziq Nazli.

Bersambung babak kedua perlawanan, JDT menggandakan asakan dan berjaya meraih gol kedua menerusi Ahmad  Hazwan Bakri pada minit ke-78.

Kedudukan 2-1 itu kekal sehingga ke wisel penamat, sekali gus menyaksikan skuad Harimau Selatan meraih tiga mata berharga.

Pada 6 Mac lepas, skuad bimbingan Raul Longhi itu seri tanpa jaringan menentang kelab dari Singapura itu di Stadium Jalan Besar, Singapura.

Leave a Reply