Kerajaan Negeri Johor Bantu Usahawan Melalui Program Galakan Usahawan – Ismail Mohamed

Kerajaan Negeri Johor Bantu Usahawan Melalui Program Galakan Usahawan – Ismail Mohamed

JOHOR BAHRU, 15 Mac – Kerajaan Negeri Johor telah memperuntukkan sebanyak RM4 juta sejak tahun 2015 bagi membantu para usahawan negeri ini khususnya melalui Program Galakan Usahawan (PGU).

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Pembangunan Usahawan Negeri Johor, Ismail Mohamed berkata, program PGU berkenaan hanya ada di Negeri Johor sahaja dan kerajaan negeri sentiasa memastikan setiap aktiviti keusahawanan berkenaan dapat memberi manfaat kepada setiap rakyat.

“Melalui PGU, kerajaan negeri turut membantu usahawan kecil menerusi pemberian bantuan mesin dan kelengkapan bengkel secara geran kepada usahawan yang layak.

“Malah, pada tahun lalu, kerajaan negeri turut memperuntukkan sejumlah RM2.8 juta melalui geran padanan bagi skim High Impact Project (HIP) untuk membantu usahawan yang mengusahakan projek-projek yang mampu memberikan impak bernilai tinggi, katanya.

Menurut beliau, para usahawan yang berjaya dalam program PGU akan didedahkan dengan jalinan serta rangkaian usahawan dari seluruh pelusuk negeri.

Sementara itu, beliau turut memberi saranan kepada usahawan Johor untuk terus bersedia dengan kepesatan pembangunan yang dialami negeri ini khususnya dalam mendepani cabaran Revolusi Perindustrian 4.0.

“Kini pemikiran dan dan cara perniagaan usahawan Johor perlu dipacu oleh idea-idea yang besar, kreatif serta bersandarkan kepada teknologi dan inovasi serta kerajaan negeri akan terus menggalakkan pertumbuhan ekonomi digital, kretiviti dan bersifat lestari.

“Selain itu, para usahawan yang menerima bantuan berkenaan supaya dapat mengoptimumkan bantuan terbabit dan menggunakan peluang berkenaan dengan sebaik mungkin, katanya ketika berucap di Majlis Penyampaian Sijil dan Bantuan PGU, Pertanian Rakyat serta Penyerahan Kit Penternakan Lobster Air Tawar, di sini, hari ini.

 

Leave a Reply