RM127 Juta Atasi Masalah Bekalan Air

RM127 Juta Atasi Masalah Bekalan Air

KLUANG– Masalah bekalan air dihadapi kira-kira 200,000 penduduk bandar ini dan sekitarnya akan selesai apabila Loji Rawatan Air Semberong Timur siap Julai tahun depan.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempat nege­ri, Datuk Md. Jais Sarday berkata, kerajaan negeri memperuntukkan RM127 juta membina loji itu yang bermula pada November lalu dan siap dalam masa 18 bulan.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mahkota berkata, sejak beberapa tahun kebelakangan ini, daerah ini sering mengalami gangguan bekalan air disebabkan sumber air mentah yang berkurangan khususnya semasa musim panas.

Berikutan itu kata Md. Jais, kerajaan pusat dan negeri merancang pembinaan sebuah empa­ngan bagi memastikan bekalan air mencukupi.

“Projek Empangan Kahang te­lah memulakan kerja-kerja tapak pada Mei 2014 dan telah siap pada Mei tahun lalu dengan melibatkan kos keseluruhan RM105 Juta.

“Sementara kerja-kerja pemasangan paip air sejauh 11 kilometer (km) ke Loji Rawatan Air Sembrong Timur sudah bermula sejak November lalu dan dan dijangka siap pada tahun hadapan,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia.

Md. Jais ber­kata demikian ketika menga­dakan lawatan kerja melihat keadaan terkini Projek Empa­ngan Kahang dan Projek Lo­ji Rawatan Air Sembrong Timur, di sini baru-baru ini.

Lawatan turut disertai Pi­hak Badan Kawal Selia Air Negeri Johor (Bakaj), Permodalan Darul Ta’zim, Pejabat Daerah Kluang, SAJ Ranhill Sdn. Bhd., Majlis Perbandaran Kluang dan kontraktor terbabit, Asia Baru Construction Sdn. Bhd.

Menurutnya, Empangan Kahang merupakan projek di bawah Kementerian Tenaga Hijau dan Air di bawah Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10) bertujuan memenuhi keperluan sumber air bagi daerah ini hingga tahun 2035.

Jelasnya, Empangan Kahang mampu membekalkan keperluan sumber bekalan air mentah sebanyak 100 juta liter sehari kepada pengguna selain mampu menampung bekalan air hingga tujuh bulan atau 210 hari, jika kawasan itu tidak menerima hujan dalam tempoh berkenaan.

Pada masa yang sama katanya, projek Loji Rawatan Air Sembrong Timur merupakan inisiatif kerajaan negeri yang dilaksanakan menerusi Bajet Johor 2018 yang diumumkan Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin pada tahun lalu. © Utusan Melayu (M) Bhd 

Leave a Reply