Tang Nai Soon, Calon BN Parlimen Kulai

Tang Nai Soon, Calon BN Parlimen Kulai

KULAI, 12 Mac – Pengerusi Barisan Nasional (BN) Johor, Dato’ Mohamed Khaled Nordin hari ini mengumumkan Ketua MCA Bahagian Kulai, Tang Nai Soon sebagai calon Parlimen Kulai pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 akan datang.

Menurut beliau, pemilihan calon BN Johor telah melalui pelbagai peringkat termasuk rundingan dan persetujuan bersama parti komponen sebelum diputuskan.

Walaubagaimanapun, ia masih boleh bertukar sehingga ke saat-saat akhir.

“Proses rundingan masih lagi sedang dibuat, pengesahan diberi berasaskan nama-nama yang dibawa oleh parti komponen dan dipersetujui. Buat ketika ini itulah nama yang disebut.

“Tetapi seperti biasa, ini adalah parti politik, sehingga ke saat akhir ia masih boleh bertukar. Bila sampai masanya hendak diumumkan itulah (calon). Itu pun pada hari penamaan calon boleh lagi bertukar.

“Saya pun kena juga dahulu, sudah dapat watikah, tetapi sebelah malam bertukar,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Penyerahan Hak Milik Tapak Kediaman Generasi Kedua Felda Inas Utara dan Notis 5A di Dewan Terbuka di Felda Inas di sini, hari ini.

Tang merupakan bekas ADUN bagi kawasan Pekan Nanas.

Tambah Mohamed Khaled, beliau mahu semua pihak termasuk jentera parti memberi sokongan yang penuh kepada calon-calon yang akan bertanding pada PRU-14 kerana mereka telah melalui pelbagai peringkat penilaian yang rapi.

“Bagi Johor kita lebih beri penekanan soal mutu perkhidmatan. Setiap wakil rakyat yang sedia ada melalui proses penilaian yang sangat ketat dan dilakukan begitu lama bukan sahaja oleh (BN) negeri tetepi juga pusat.

“Ia boleh dilakukan secara terang-terangan atau rahsia terutamanya oleh pihak pusat. Siapa yang buat kita tidak tahu, tiba-tiba akan dibentangkan sahaja untuk perbincangan mengenai seseorang calon.

“Atas sebab itu saya berharap, mana-mana calon yang ditentukan bagi satu-satu kawasan diharapkan semua jentera beri sokongan yang penuh kerana mereka telah melalui satu proses yang begitu teliti dan rapi,” katanya. -JAUHAR

Leave a Reply