Janji Air Percuma Di Johor : Pembangkang Digesa Kemuka Bukti Cara Tangani Kos

Janji Air Percuma Di Johor : Pembangkang Digesa Kemuka Bukti Cara Tangani Kos

KLUANG, 13 Mac – Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Negeri Johor, Datuk Md Jais Sarday meminta agar pembangkang menunjukkan bagaimana cara mereka membuat pengiraan berikutan janji mereka memberikan air percuma kepada semua penduduk negeri Johor sekiranya mereka menang PRU-14 nanti.

Jelas beliau, contoh pengiraan amat penting bagi menyokong janji mereka itu kerana rakyat Johor hanya percaya kepada fakta yang kukuh dan bukannya sekadar janji bulan dan bintang.

“Pembangkang harus menunjukkan pengiraan logik yang membuktikan bagaimana mereka mampu untuk menunaikan janji tersebut kerana ini melibatkan kos.

“Di Johor, kita juga ada memberi air percuma kepada lebih 5000 pengguna tetapi kepada mereka yang layak. Sekiranya pembangkang menjadikan Selangor sebagai contoh maka rakyat harus menilai adakah mereka sanggup mempercayai janji tersebut dan pada akhirnya masalah air akan timbul sama seperti yang menimpa Selangor kini.

“Kerana itu saya katakan, semua ini melibatkan kos, mereka tawarkan air percuma tetapi mereka tidak mampu menangani kesan daripada pemberian itu pun tidak ada guna kerana akhirnya rakyat yang akan menderita kerana tiada air,” ujarnya kepada UMNO-Online.

Pada masa yang sama beliau turut menjelaskan, Johor sekarang ini sedang dalam proses untuk mengurangkan tarif air dan ia memerlukan masa untuk dilaksanakan.

“Apa yang penting kini adalah rakyat Johor tidak menghadapi masalah ketiadaan air”, katanya.

Justeru, beliau turut menyeru kepada rakyat Johor agar jangan mudah terpengaruh dengan pelbagai janji manis pembangkang kerana itu semua hanyalah satu permainan biasa politik pembangkang menjelang PRU.

“Rakyat harus melihat apa jadi di Selangor dan Pulau Pinang sebelum mempercayai kata-kata pembangkang. Nasihat saya, hargailah apa yang kita ada sekarang ini kerana BN telah melakukan yang terbaik malah sentiasa mencuba yang terbaik untuk rakyat.

“Janji BN bukan seperti janji pembangkang kerana kita berjanji sekiranya kita benar-benar yakin mampu untuk menunaikannya,” tegas beliau.

Baru-baru ini Pakatan Harapan Johor mengeluarkan kenyataan mahu memberikan bekalan air percuma di negeri itu, seperti dilaksanakan di Selangor jika menang pada PRU-14.

Pembangkang di Johor mendakwa kadar bil air di Johor adalah tertinggi di Malaysia dan menjadikan isu itu bagi menyerang kerajaan negeri pimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Khaled Nordin. – UMNOOnline

Leave a Reply