Tiga Tawaran Buat Warga Felda

Tiga Tawaran Buat Warga Felda

KULAI, 12 Mac- Kerajaan negeri akan memberikan tiga tawaran besar kepada warga Felda di negeri Johor sekiranya ia masih diberi mandat pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14.

Menteri Besarnya, Dato’ Mohamed Khaled Nordin, berkata, tawaran itu adalah bagi mengarusperdanakan Felda sebagai wilayah pertumbuhan strategik di kawasan luar bandar Malaysia.

“Jika kita diberi mandat sekali lagi, kita ada sekurang-kurang 3 tawaran besar dan mudah kepada warga Felda.

“Pertama, kita akan menjadikan kawasan Felda sebagai wilayah pertumbuhan luar bandar yang paling dinamik dan berdaya saing.

“Kita mahu ia mempunyai kepentingan dan sumbangan yang bermakna kepada negara dan negeri, melampaui sumbangan ekonominya melalui hasil ladang yang berteraskan komoditi selama ini,” katanya.

Tambah beliau, tawaran kedua merujuk kepada usaha kerajaan negeri untuk memastikan model pengurusan Felda akan ditransformasikan.

“Kita mahu agar warga Felda, generasi kedua dan ketiga Felda dilibatkan dan diberikan kuasa untuk mengurus aktiviti ekonomi Felda.

“Ketiga, kita akan pastikan setiap warga Felda, khususnya anak muda Felda, mesti mempunyai kemahiran,” katanya.

Beliau berkata demikian sempena Majlis Penyerahan Hak Milik Tapak Kediaman Generasi Kedua Felda Inas Utara dan Notis 5A di Dewan Terbuka Felda Inas, hari ini.

Yang turut hadir, Setiausaha Kerajaan Johor, Dato’ Azmi Rohani dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Permai, Ali Mazat Salleh.

Jelas Mohamed Khaled lagi, misi Felda kini bukan lagi untuk membasmi kemiskinan seperti dahulu, sebaliknya ia perlu berganjak dan mampu menjana kekayaan kepada warganya.

“Sekarang adalah masa untuk Felda berganjak ke paradigma baru, iaitu menjana kekayaan dan membangunkan potensi warganya secara lebih terancang, lebih sistematik dan pelbagai.

“Kita mahu warga Felda boleh membangunkan aset sendiri, kekayaan sendiri dan pendapatan sendiri, agar wujud kesejahteraan hidup yang berterusan kepada generasi-generasi Felda yang akan datang,” katanya.

Beliau berkata, Pelan Baharu untuk Felda 2.0 dilancarkan minggu lalu bagi membangunkan Felda secara besar-besaran, selain untuk Felda dilihat sebagai satu entiti yang mempunyai kepentingan ekonomi yang besar.

Mengenai pemberian hak milik dan Notis 5A itu, beliau berkata, ia sebagai pengiktirafan kerajaan negeri atas sumbangan mereka meneroka tanah terbabit.

“Kita percaya bahawa kerajaan negeri mestilah membantu mereka yang berusaha. Benar, peruntukan undang-undang itu tegas dan jelas. Tetapi, dalam kes-kes tertentu seperti hak pemilikan tanah ini, kita mesti mengutamakan kesejahteraan dan keadilan.

“Kita mahu masyarakat kita mempunyai aset dan harta. Kita tidak hanya boleh menjadi mereka yang bergantung kepada pendapatan pekerjaan semata-mata. Masyarakat di Johor mesti kita bantu agar mempunyai aset dan harga sendiri,” katanya. – JAUHAR

Leave a Reply