Kerajaan Negeri Johor Tolak Cadangan Pembangkang Wujud Universiti Johor @AyubRahmat

Kerajaan Negeri Johor Tolak Cadangan Pembangkang Wujud Universiti Johor @AyubRahmat

JOHOR BAHRU, 10 Mac – Kerajaan Negeri Johor hari ini menolak cadangan pihak pembangkang untuk mewujudkan lagi sebuah Institusi Pengajian Tinggi (IPT) di Johor iaitu Universiti Johor.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar, Pendidikan dan Penerangan Negeri Johor, Datuk Ayub Rahmat berkata, pihak pembangkang sering memanipulasi fakta yang sememangnya menunjukkan pentadbiran kerajaan Barisan Nasional  (BN) sentiasa kehadapan membantu masyarakat terutamanya dalam bidang pendidikan.

“Berdasarkan kenyataan Pengerusi Amanah Johor yang menyatakan bahawa HARAPAN ingin menubuhkan Universiti Johor bagi meningkatkan taraf pendidikan di negeri ini, mungkin beliau terlupa bahawa selain Kolej YPJ di bawah kelolaan kerajaan negeri, di Johor mempunyai Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) dan Universiti Teknologi Mara (UiTM).

“Lebih menarik lagi , UTM, UIAM dan UTHM mempunyai kampus di Hub Pendidikan Pagoh dan bukankah ianya memberi manfaat kepada beribu orang, malah di Johor juga kita mempunyai beberapa Politeknik, Kolej Kemahiran, Kolej Komuniti dan Institusi Pengajian Tinggi Swasta yang sudah pasti membantu meningkatkan taraf pendidikan rakyat di negeri Johor, katanya dalam kenyataan rasmi beliau.

Ayub Rahmat berkata, tanggungjawab Kerajaan Negeri Johor dalam setiap permasalahan dan isu pendidikan yang dilontarkan rakyat sentiasa diberikan perhatian dengan sewajarnya.

“Sebagai contoh, pembangkang telah menjanjikan pendidikan percuma dan lihat sahaja di Selangor, sehingga kini sangkaan bahawa kerajaan negeri akan menjadi negeri contoh dan yang pertama untuk melaksanakan pendidikan percuma tidak langsung terbayang dalam bajet yang diumumkan Menteri Besar, Datuk Seri Mohamded Azmin Ali.

“Secara tidak langsung, ia membuktikan perkara berkenaan adalah satu imaginasi melampau yang sukar untuk dilaksanakan, katanya.

Menurut beliau, pembangkang sekadar menabur janji-janji manis dan besar yang mereka bercita-cita untuk laksanakan jika mereka memerintah.

“Bukankah janji-janji berkenaan mengambarkan dengan jelas bahawa pembangkang sebenarnya sering menjadikan Bajet, sesi Dewan dan menjelang PRU ini sebagai pentas manifesto dan ruang kempen pilihan raya.

“Begitu jelas bahawa Kerajaan Negeri Johor sentiasa berfikiran jauh dan komited dalam merealisasikan impian dan membantu rakyat dalam semua hal, katanya.

Justeru, beliau menyeru kepada bangsa Johor dan rakyat Malaysia supaya tidak terus percaya dengan janji manis dan kata-kata kosong pembangkang menjelang PRU yang bakal tiba dan rakyat boleh melihat pembangunan dan janji kerajaan BN yang telah dilaksanakan.

Terdahulu, Pengerusi Parti Amanah Negara (AMANAH) Negeri Johor, Aminolhuda Hassan menyatakan untuk mewujudkan Universiti Johor sekiranya Pakatan Harapan (PH) memerintah di negeri Johor bertujuan untuk mempertingkatkan lagi mutu pendidikan di negeri ini.

Leave a Reply