Janji Pembangkang Sekadar Madu Beracun – Najib

Janji Pembangkang Sekadar Madu Beracun – Najib

MUAR, 10 Mac – Datuk Seri Najib Tun Razak menyifatkan janji-janji parti pembangkang sekadar “madu beracun” kerana gagal menunaikan janji kepada rakyat termasuk menyelesaikan krisis air di Selangor.

Sebaliknya, Perdana Menteri berkata janji kerajaan Barisan Nasional (BN) dalam menyelesaikan segala permasalahan rakyat bukan dengan janji palsu tetapi telah terbukti dengan pelbagai pelaksanaan projek untuk pembangunan dan kesejahteraan rakyat.

“Jangan lihat hanya pada janji-janji (pembangkang), tuan-tuan. Sebab janji boleh jadi madu beracun. Kita tengok janji Kerajaan Selangor, hari ini apa isu terbesar di Selangor?

“Sekarang ini, dua juta penduduk di Selangor dalam keadaan di mana mereka menghadapi kesukaran, air putus, tekanan rendah dan kualiti air yang buruk.

Sedangkan kerajaan BN sudah melaksanakan pelbagai kemudahan termasuk melaksanakan Aliran Transit Massa (MRT), menyediakan perumahan yang murah dan mampu milik berbanding kerajaan Selangor dan Pulau Pinang yang kebanyakan menyediakan rumah mahal,” kata beliau ketika berucap merasmikan Himpunan Jentera Pemuda dan Puteri BN, di Institut Kemahiran Tinggi Belia Negara di Pagoh, hari ini.

Masalah air di Selangor yang bermula sejak Selasa lepas menyebabkan 427 kawasan di sekitar Lembah Klang termasuk Shah Alam, Klang, Petaling, Gombak, Hulu Selangor dan Kuala Langat telah mengalami gangguan bekalan air .

Ia dijangka berterusan sehingga esok akibat kerja-kerja pembaikan di Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 3 (SSP3) di Bestari Jaya, Kuala Selangor oleh Syarikat Bekalan Air Selangor ( Syabas), yang sepatutnya selesai semalam (9 Mac).

Menyentuh masalah perumahan pula, Najib berkata kerajaan BN lebih banyak menyediakan rumah yang murah dan mampu milik berbanding kerajaan Selangor dan Pulau Pinang, yang mana sebanyak 76 peratus rumah di dua negeri itu berharga lebih RM1 juta.

“Kita (kerajaan BN) buat rumah Projek Perumahan Rakyat (PPR) kosnya RM120,000 tapi kita jual RM35,000. Jasa siapa? Jasa BN. Siapa yang buat rumah mewah, lebih utamakan pembinaan terowong, pembangunan lereng bukit?,” kata Najib dengan sinis.

Beliau berkata kerajaan BN telah berjaya menunaikan 97.6 peratus janji daripada kandungan manifesto yang dibentangkan pada pilihan raya umum yang ke-13.

“Kita bukan (tawar) janji kosong. Kita janji dengan bukti, kita telah tepati janji kita. Yang kata 97.6 peratus ini Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) yang cakap. Sebab itu kalau kita ada mandat, Insya-Allah, negara kita semakin hari semakin maju,” kata beliau.

Najib yang juga Menteri Kewangan berkata ini juga terbukti dengan kenyataan Dana Kewangan Antarabangsa (IMF) baru-baru ini yang menyatakan Malaysia berada di landasan yang betul ke arah menuju ekonomi maju.

“Ini bukan cawangan parti bunga yang cakap (Parti Pribumi Bersatu Malaysia). Mereka tiada mesyuarat Bahagian dan Cawangan, alih-alih mesyuarat nasional. Jadi jangan cakap nak tadbir negara kerana parti sendiri pun tidak boleh tadbir, haru-biru, caca marba, nak tegur orang lain, tapi diri sendiri pun tidak betul,” kata beliau.

Najib turut menyifatkan Pakatan Harapan sebagai “pakatan hipokrit” disebabkan kenyataan lepas beberapa pemimpin pembangkang sebelum ini yang pernah menjadi bekas pemimpin kerajaan BN.

“Kenapa hipokrit? Masa dalam UMNO, kawan yang mereka komplot hari ini, pernah didakwa sebagai parti cauvinis, anti-Melayu anti-Islam. Ini mereka cakap, kita ada rakaman waktu yang mereka cakap, mereka kutuk parti yang hari ini, (sekarang) mereka tidur sebantal,” kata Najib.

Leave a Reply