Akhirnya Penduduk Kampung Sentosa Miliki Gelanggang Futsal

Akhirnya Penduduk Kampung Sentosa Miliki Gelanggang Futsal

MUAR, 10 Mac — Gelanggang futsal yang dibina kerajaan Barisan Nasional (BN) membawa keceriaan kepada kira-kira 292 penduduk Orang Asli di Kampung Sentosa di sini.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini melakukan lawatan ke kampung dan meluangkan masa kira-kira 30 minit bagi meninjau dan beramah mesra dengan penduduk.

Tok batin Kampung Sentosa Ayu Enn berkata penduduk berbesar hati dengan kunjungan pertama kali perdana menteri ke kampung mereka.

“Dulu saya pernah minta dengan anggota parlimen di sini bagi mendapat dana untuk membina gelanggang futsal, namun tiada.”

“Keceriaan mula wujud di kampung ini apabila kerajaan pusat mendirikan gelanggang futsal bernilai RM50,000 yang siap dibina akhir bulan lepas.”

“Saya mewakili penduduk di sini mengucapkan ribuan terima kasih kepada kerajaan kerana peka dengan masyarakat orang asli,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Turut hadir Menteri Besar Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Serampang Ismail Mohamed.

Beliau berharap dapat bertemu lebih lama dengan perdana menteri pada masa akan datang kerana belum pernah lagi pemimpin tertinggi negara melawat kampung tersebut.

Seorang lagi penduduk kampung yang berkongsi kegembiraan itu, Embak, 34, berkata sebelum ini kampungnya sunyi tanpa aktiviti sukan.

“Dengan pemberian kerajaan ini penduduk kampung dapat mengisi waktu petang dengan aktiviti futsal dan telah lama kami menunggu saat ini,”katanya.

Najib hari ini telah mengumumkan peruntukan tambahan RM20,000 bagi menyediakan lampu limpah di gelanggang berkenaan. -Bernama

Leave a Reply