imCoop Catat Nilai Jualan RM13.68 Juta Pada 2017

imCoop Catat Nilai Jualan RM13.68 Juta Pada 2017

ISKANDAR PUTERI, 8 Mac — Kedai Harga Patut Muafakat Johor (imCoop) mencatat jualan bernilai RM13.68 juta pada tahun lepas berbanding RM8.02 juta pada 2016.

Pengerusi  Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri Johor, Ismail Mohamed berkata peningkatan jualan sebanyak RM5.66 juta pada 2017 itu menunjukkan perniagaan runcit menerusi imCoop diterima baik oleh masyarakat.

Beliau berkata setakat ini sebanyak 20 outlet imCoop beroperasi di seluruh Johor.

“Dijangkakan  sehingga Disember ini, sebanyak 10 lagi outlet baharu imCoop dibuka, menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 30 buah outlet menawarkan pelbagai barangan keperluan rakyat pada harga berpatutan.

“Daripada jumlah outlet sedia ada, 14 outlet turut menyediakan keperluan barangan basah di bawah program MyFarm Outlet,” katanya di persidangan Dewan Undangan Negeri Johor di Kota Iskandar di sini, hari ini.

Ismail berkata demikian ketika menjawab soalan A. Aziz Ismail (BN-Senggarang) mengenai penerimaan masyarakat terhadap kedai imCoop dan penglibatan dari koperasi untuk mengusahakannya.

Beliau berkata, bagi 2018, imCoop merancang untuk mengadakan program jualan pasar komuniti.

Katanya program tersebut akan menyasarkan kawasan penduduk yang majoriti ialah kumpulan isi rumah berpendapatan 40 peratus terendah (B40) supaya mereka boleh mendapatkan barangan keperluan harian pada harga berpatutan.

Leave a Reply