Dekad Baharu Johor Selari Dengan Agenda Nasional

Dekad Baharu Johor Selari Dengan Agenda Nasional

ISKANDAR PUTERI, 8 Mac  — Dekad Baharu Johor yang diperkenalkan kerajaan negeri adalah selari dengan agenda nasional seperti Wawasan 2020 dan Transformasi Nasional 2050 (TN50).

Menteri Besar Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata agenda ini diperkenalkan untuk membangunkan Johor menjadi negeri paling membangun dan sejahtera dalam tempoh 10 tahun.

“Sudah pastilah segala dasar dan agenda pembangunan yang dirancang oleh kerajaan negeri mengambil kira keserasian dan kesesuaiannya dengan dasar dan agenda besar pada peringkat nasional, begitu jugalah dengan gagasan ini.

“Ia bergerak selari dan menyantuni aspirasi yang terkandung dalam Wawasan 2020 dan TN50,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Azahar Ibrahim (BN-Tenang) yang ingin tahu aspirasi Dekad Baharu Johor dan adakah ia selari dengan agenda-agenda nasional seperti Wawasan 2020 dan TN50.

Mohamed Khaled berkata seperti yang kerap beliau tekankan, agenda pembangunan ini adalah persediaan untuk menghadapi masa hadapan.

Beliau berkata ia bukan agenda sehari dua dan sekadar satu gagasan untuk mendepani cabaran hari ini tetapi amat mengambil kira cabaran dan konteks masa hadapan.

Katanya seperti mana Wawasan 2020 dan TN50, Dekad Baharu Johor menjadikan pembangunan prasarana dan pembangunan kapasiti manusia sebagai teras yang penting.

“Ini merupakan satu persamaan dan keserasian yang sangat jelas. Dekad Baharu Johor meletakkan pemberat yang penting dalam usaha melengkap dan memantapkan prasarana serta kemudahan awam, sama seperti yang dihujahkan dalam sembilan cabaran Wawasan 2020 serta TN50,” katanya.

Beliau berkata ia dirangka untuk tempoh 10 tahun atas beberapa sebab antaranya adalah kerana ia tempoh yang realistik.

“Agenda pembangunan yang terlalu singkat dan panjang tempohnya adalah tidak realistik. Ia bukan sahaja tidak boleh dibayangkan oleh masyarakat. Malah, konteks dan keadaan akan sudah jauh berubah.

“Jadi, 10 tahun adalah tempoh yang realistik. Dinamik dan cabaran ekonomi serta konteks kehidupan masyarakat tidak berubah pada kadar yang terlalu jauh dengan apa yang sudah kita rancangkan,” katanya.

Mohamed Khaled berkata10 tahun juga adalah tempoh yang membolehkan kerajaan negeri menilai dan mengkaji keberkesanan Dekad Baharu Johor.

Beliau berkata sehubungan itu, kerajaan negeri memilih tempoh 10 tahun kerana kerajaan negeri percaya ia adalah satu tempoh yang wajar dan tidak terlalu singkat untuk kerajaan negeri membuat penilaian terhadap agenda pembangunan yang diperkenalkan.

Leave a Reply