Dekad Baharu Johor Adalah Misi Pembangunan Jangka Masa Sederhana – @KhaledNordin

Dekad Baharu Johor Adalah Misi Pembangunan Jangka Masa Sederhana – @KhaledNordin

JOHOR BAHRU, 8 Mac – Falsafah Dekad Baharu Johor yang diperkenalkan oleh kerajaan negeri akan dapat mempengaruhi pemikiran rakyat Johor khususnya untuk memacu pembangunan di negeri ini pada masa akan datang.

Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, falsafah berkenaan bukan sekadar sebuah falsafah atau slogan, malah ianya adalah misi pembangunan jangka masa sederhana.

“Dekad Baharu Johor adalah sebuah misi kemuncak yang didasari oleh falsafah Johor Berkemajuan dan sasarannya jelas dalam tempoh masa yang realistik, malah ianya diiringi dengan strategi dan fokus yang khusus bagaimana semua ini harus dicapai.

“Antaranya dengan melakukan pembangunan infrastruktur pada skala besar-besaran, melakukan perubahan dalam struktur ekonomi negeri, menjayakan transformasi sistem, budaya dan norma kehidupan digital dan merancakkan agenda pembangunan bakat, minda dan pemikiran anak muda Johor, katanya ketika menjawap soalan yang diusul ADUN Tenang, YB Mohd Azahar Ibrahim dalam Mesyuarat Keempat bagi Penggal Persidangan Kelima Dewan Negeri Johor Yang Ke-13 di Bangunan Sultan Ismail, hari ini.

Menurut beliau, dengan melakukan perkara berkenaan, sasaran untuk memastikan 10 tahun akan datang menjadi era kemuncak Johor, sama ada aspek pertumbuhan ekonomi, keharmonian masyarakat dan alam sekitar serta kesejahteraan sosial.

“Pertama, kerana dalam kesemua aspirasi dan matlamat Dekad Baharu Johor berkenaan, ianya akan memberi manfaat dan faedah secara langsung kepada rakyat Johor kerana tidak ada strategi dan fokus dalam falsafah berkenaan yang tidak memberikan manfaat kepada masyarakat umum.

“Kedua, matlamat falsafah berkenaan mempunyai pakej dan diperkenalkan sebagai satu platform untuk semua pihak menyumbang dengan lebih banyak serta berkesan dan mahu masyarakat di Johor mempunyai pemikiran dan semangat menyumbang kepada tahahair mereka dan bukannya sekadar menjadi pemerhati sahaja, katanya.

Mohamed Khaled berkata, perkara yang ketika adalah kerajaan negeri yakin masyarakat akan terpanggil untuk terlibat dalam menjayakan aspirasi ini kerana strategi dan pendekatan yang kita sarankan di dalamnya bersifat persediaan masa depan yang realistik serta relevan dengan kehidupan mereka.

“Misalnya, dalam agenda pembangunan bakat orang muda dan seruan untuk semua pihak melakukan persediaan bagi berhadapan dengan ekonomi digital malah, kedua-dua aspek berkenaan penting untuk dilihat dan diberi perhatian oleh masyarakat.

“Jadi, apabila kita menyatakan azam dan perancangan kita untuk membantu mereka mempersiapkan diri bagi menghadapi masa depan, sudah pasti ianya akan diterima dan di sambut baik oleh masyarakat, katanya.

 

 

Leave a Reply