Projek Naik Taraf Sekolah Guna Ibs Di Johor Bermula Rabu

Projek Naik Taraf Sekolah Guna Ibs Di Johor Bermula Rabu

ISKANDAR PUTERI, 5 Mac — Projek pembinaan semula dan naik  taraf sekolah daif menggunakan  Sistem Binaan Berindustri (IBS) di Johor dijangka bermula Rabu ini, kata Pengerusi  Jawatankuasa  Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah negeri Datuk Hasni Muhammad.

Beliau berkata bagi fasa pertama sebanyak 17 sekolah terbabit dalam pembinaan semula dan naik taraf itu membabitkan kos RM22 juta.

Secara keseluruhannya sebanyak  40 buah sekolah di seluruh negeri  dikenal pasti layak untuk projek itu, katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis  menandatangani dan penyerahan  Dokumen Kontrak bagi Cadangan Pembinaan Semula dan Menaik Taraf Sekolah Daif menggunakan kaedah (IBS) di Semenanjung Malaysia (Fasa Satu) tahun 2018 bagi negeri Johor.

Terdahulu dalam ucapannya, Hasni  berkata skop utama bagi projek fasa pertama berkenaan melibatkan 95 bilik darjah dan 11 tandas dan akan mengambil masa tiga hingga empat bulan untuk disiapkan menggunakan teknologi IBS itu.

“Kita telah menggunakan kaedah yang agak terperinci dalam memastikan kontraktor yang dilantik ini dapat menyiapkan kontrak masing-masing antara tiga hingga empat bulan sahaja,” katanya.

Pembangunan menggunakan IBS di Johor merupakan pendekatan yang diberikan keutamaan dalam semua kontrak di bawah pengurusan Jabatan Kerja Raya (JKR) kerana ingin memastikan setiap kerja pembinaan di tapak mematuhi peraturan yang ditetapkan seperti memastikan tapak bina berada dalam keadaan bersih dan tersusun.

Kerajaan pusat memperuntukkan sebanyak RM2.5 billion untuk kerja-kerja pembinaan sekolah daif bagi tempoh dua tahun iaitu  2018 (Fasa Satu) dan 2019 (Fasa Dua)  dengan pecahan RM500 juta di Semenanjung manakala RM1 bilion di Sabah dan Sarawak.

Leave a Reply