Kerajaan Sasar 50% Usahawan Bumiputera Tempoh 5 Tahun Akan Datang.

Kerajaan Sasar 50% Usahawan Bumiputera Tempoh 5 Tahun Akan Datang.

BATU PAHAT, 6 Mac – Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri optimis mengenai jumlah usahawan bumiputera mampu ditingkatkan menjadi sekurang-kurangnya 50 peratus dalam tempoh lima tahun akan datang.

Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, ketika ini jumlah mereka yang menceburi perusahaan kecil dan sederhana (PKS) hanya sekitar 38 peratus daripada keseluruhan kira-kira 900,000 usahawan di seluruh negara.

“Angka berkenaan masih terlalu rendah walaupun pelbagai program bantuan, dana, geran dan sebagainya disediakan oleh kerajaan bagi merancakkan lagi bidang keusahawanan kepada golongan terbabit.

“38 peratus daripada 900,000 masih terlalu rendah, jadi kita berharap Bahagian Pembangunan Usahawan Bumiputera (BPUB) yang ditubuhkan di setiap kementerian perlu bergerak lebih proaktif bagi menggalakan lebih ramai menjadi usahawan, katanya ketika mengadakan lawatan PKS di Azad Food Industries Sdn. Bhd. di sini, semalam.

Menurut beliau, sekiranya 25 bahagian berkenaan di semua kementerian yang diketuai Timbalan Ketua Setiausahanya bergerak secara proaktif membuat promosi dan tidak hanya menunggu orang datang dan pihaknya yakin penyertaan golongan bumiputera dalam bidang usahawan akan terus meningkat.

“Golongan bumiputera diharap mengambil peluang menjadi usahawan PKS terutamanya dalam bidang pembuatan seperti membuat sos dan mayonis selain terlibat dalam bidang perkhidmatan dan kontraktor.

“Budaya keusahawanan perlu diserap kepada golongan bumiputera kerana kita sedar golongan itu lebih selesa bekerja, tapi mereka yang mempunyai potensi untuk berjaya dalam bidang keusahawanan perlu gigih mencari maklumat atau lebioh berani untuk berjumpa dengan pihak yang sepatutnya, katanya.

Ahmad Maslan berkata, kerajaan sudah menyediakan dana sebanyak RM22.2 bilion dalam Bajet 2018 yang bukan sahaja dapat membantu menambah modal dan meluaskan pasaran produk keluaran mereka tetapi mereka yang baru hendak menceburi juga boleh memohon dana berkenaan yang sudah disalurkan kepada pelbagai kementerian dan agensi.

Lawatan sempena Jelajah PKS kementeriannya itu di seluruh Malaysia turut diiringi Pengarah Azad Food Industries, Azharazad Abd. Rahman yang terlibat dalam bidang pembuatan sos, kicap dan mayonis dibawah jenama Azad.

 

Leave a Reply