200 Pelajar Dapat Baju Baru Sekolah Agama

200 Pelajar Dapat Baju Baru Sekolah Agama

BATU PAHAT, 6 Mac – Seramai 200 pelajar di kawasan Parlimen Parit Sulong menerima bantuan pakaian sekolah agama dan peralatan persekolahan melalui program khidmat sosial (CSR) daripada Tenaga Nasional Berhad (TNB) Johor.

Pengurus Besar Perkhidmatan Pelanggan TNB Johor, Datuk Baderul Sham Saad berkata, program CSR berkenaan merupakan kali pertama diadakan dengan kerjasama Parlimen Parit Sulong dan membabitkan para pelajar yang masih belum mempunyai pakaian baru walaupun sudah masuk bulan ketiga sesi persekolah 2018.

“Sebelum ini beberapa program yang sama diadakan di parlimen yang lain dan tujuan utamannya adalah untuk membantu mereka yang berada dalam keadaan yang susah.

“Dalam bantuan berkenaan, pihak kami menyalurkan sumbangan berupa pakaian atau uniform sekolah agama Johor iaitu baju Melayu dan dalam masa yang sama kita menyalurkan sumbangan peralatan persekolahan termasuk alat tulis, katanya ketika sidang media Program Ceria Ke Sekolah TNB Johor di Sekolah Agama Seri Medan, Batu Pahat, baru-baru ini.

Sementara itu, Ahli Parlimen Parit Sulong, Datuk Dr Noraini Ahmad berkata, beliau menggalakkan mana-mana agensi atau pihak yang ingin memberikan sumbangan kepada pelajar sekolah terutamanya yang memerlukan.

“Dengan sumbangan yang diberikan ini sekurang-kurangnya beban yang ditanggung akan dapat meringankan dan berkemungkinan penerima berkenaan mempunyai adik beradik yang ramai.

“Kita akan dapat mengurangkan beban golongan yang memerlukan berkenaan sekali gus akan mencapai sasaran kami yang mahu pelajar berkenaan akan kembali ceria ke sekolah seperti pelajar yang lain, katanya.

 

Leave a Reply