Projek Pembinaan Semula dan Naik Taraf Sekolah Guna IBS Fasa 1 Di Johor Bermula Rabu Ini – @HasniMohammad1

JOHOR BAHRU, 5 Mac – Kerja-kerja pembinaan semula dan menaik taraf sekolah menggunakan  Sistem Binaan Berindustri (IBS) Fasa 1 di 17 Sekolah di Johor dijangka akan bermula rabu ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah negeri, Datuk Ir. Hasni Muhammad berkata, sebanyak 17 daripada 40 buah sekolah di seluruh Johor dikenal pasti layak untuk dinaiktaraf semula dalam projek fasa pertama.

“17 buah sekolah yang terlibat berkenaan menelan kos sebanyak RM22 juta manakala untuk keseluruhan kita sudah mengemukakan senarai sebanyak 40 buah sekolah di seluruh negeri Johor untuk dibaik pulih dan di naik taraf.

“Skop utama untuk projek fasa pertama berkenaan melibatkan sebanyak 95 bilik darjah dan 11 blok tandas serta tempoh pembinaan projek menggunakan teknologi IBS berkenaan diperuntukkan dalam masa tiga hingga empat bulan.

“Kita sudah menggunakan kaedah yang agak terperinci dalam memastikan kontraktor yang dilantik berkenaan dapat menyiapkan kontrak masing-masing antara tiga hingga empat bulan sahaja untuknya disiapkan”, katanya.

Menurut beliau, pembangunan IBS di Johor merupakan pendekatan yang diberikan keutamaan dalam semua kontrak di bawah pengurusan Jabatan Kerja Raya (JKR) kerana ingin memastikan setiap kerja pembinaan di tapak mematuhi peraturan yang ditetapkan seperti memastikan tapak bina berada dalam keadaan bersih dan tersusun.

“Kita sering berhadapan isu mengenai jalan raya yang sering rosak disebabkan pembinaan banyak dilakukan, jadi dengan menggunakan IBS ianya diharapkan dapat dikurangkan kemungkinan kerosakan- kerosakan kemudahan asas dan diharapkan kontraktor dapat memenuhi syarat yang sudah mereka tandatangani.

“Kerajaan memperuntukkan sejumlah RM2.5 billion untuk kerja-kerja pembinaan sekolah daif bagi tempoh dua tahun iaitu  2018 (fasa 1) dan 2019 (fasa 2)  dengan pecahan RM500 juta di semenanjung manakala RM 1 Bilion di Sabah dan Sarawak serta berharap baki 23 buah sekolah lagi yang disenaraikan untuk dinaik taraf diluluskan untuk fasa kedua pula.

Dalam pada itu, Datuk Ir. Hasni Muhammad merasmikan Majlis Menandatangani dan Penyerahan Dokumen Kontrak bagi Cadangan Membinaan Memula dan Menaik Taraf Sekolah Daif menggunakan kaedah IBS di Semenanjung Malaysia (fasa 1) 2018 bagi negeri Johor yang turut di hadiri Pengarah Kerja Raya Johor, Ir. Mohamad Salleh Abu Bakar dan Timbalannya, Haji Mohd Said Sidek.

Leave a Reply