Kerajaan Johor Usaha Atasi Masalah Buruh

Kerajaan Johor Usaha Atasi Masalah Buruh

JOHOR BAHRU – Pelan Rasionalisasi Buruh Negeri Johor yang dijangka siap April depan diyakini mampu membuka saluran dan peluang kerja merangkumi pelbagai sektor khususnya kepada pekerja tempatan.

Exco Sumber Manusia Johor, R Vidyanathan berkata, dasar berkenaan juga merupakan inisiatif berterusan kerajaan negeri dalam usaha mengatasi penggunaan tenaga buruh asing yang semakin tinggi di negeri ini.

“Idea asal pelaksanaan pelan ini diinspirasikan daripada ciri-ciri pasaran buruh bagi negeri maju. Ia merangkumi aspek pemadaman yang optimum antara permintaan, penawaran buruh, pengurangan kebergantungan kepada buruh asing dan sistem sokongan buruh komprehensif.

 “Kerajaan negeri sentiasa memandang tinggi inisiatif di dalam mengembangkan dan mendinamikkan pasaran buruh dengan pemerkasaan kemahiran dalam kalangan rakyatnya berikutan ekonomi Johor yang pelbagai,” katanya, di sini, baru-baru ini.

Vidyanathan berkata, kajian yang sedang dijalankan Unit Swadaya Insan Negeri Johor itu juga bakal bakal merungkai isu dihadapi termasuklah kekurangan pekerja berkemahiran tinggi dan kebergantungan pekerja asing berkemahiran rendah.

 “Ia juga meliputi struktur upah, produktiviti buruh yang tidak setanding dengan negeri antara bangsa serta kekurangan sistem sokongan padu pasaran buruh,” katanya.

“Ketika ini kajian pelan itu melibatkan semua pihak berkaitan seperti agensi kerajaan pusat dan kerajaan negeri yang terlibat pembangunan sumber manusia selain pihak swasta, persatuan majikan, kesatuan pekerja dan pihak-pihak berkepentingan sedang diperhalusi,” katanya.

Jelasnya, pelan berkenaan  bakal memberi impak di dalam peningkatan kebergantungan dan pengutamaan rakyat tempatan di dalam pasaran buruh, produktiviti, mengurangkan jurang pendapatan dalam kalangan rakyat Johor serta mengukuhkan sistem sokongan buruh termasuklah penggajian, pembangunan kerjaya dan latihan kemahiran.

Leave a Reply