Piala FA: JDT Hampir Dikejutkan Di Likas

Piala FA: JDT Hampir Dikejutkan Di Likas

KUALA LUMPUR, 4 Mac – Juara edisi 2016, Johor Darul Ta’zim (JDT) hampir dikejutkan oleh Sabah pada aksi pusingan kedua Piala FA, sebelum juara Liga Super empat kali berturut-turut itu bangkit mencatat kemenangan 2-1 pada masa tambahan di Stadium Likas, Kota Kinabalu, malam tadi.

Pasukan tuan rumah terlebih dahulu membuka jaringan menerusi pemain import dari Korea Selatan, Lee Kil-Hoon pada minit ke-24, sebelum skuad Harimau Selatan menyamakan kedudukan menerusi ayam tambatannya, Luciano Figueroa pada minit ke-53.

JDT, yang terpalit dengan krisis dalaman menyaksikan peletakan jawatan pengendali Ulisses Morais dan penyerang sensasi, Jorge Pereyra Diaz meninggalkan kelab secara senyap, mengesahkan tempat di pusingan ketiga menerusi jaringan pemain import dari Argentina, Gonzalo Cabrera, empat minit selepas masa tambahan bermula (minit ke-94).

Sementara itu, jaringan hatrik penyerang import dari Brazil, Guilherme de Paula pada minit ke-21, 65 dan 90 membantu pasukan Kuala Lumpur membenam Kuching FA 4-0 di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras di sini.

Satu lagi jaringan skuad ‘The City Boys’ yang merupakan juara tiga kali Piala FA pada 1993, 1994 dan 1999, dijaringkan rakan senegaranya, Paulo Josue pada minit ke-49.

 

Leave a Reply