Kesemua 191 Bahagian UMNO Telah Aktifkan Biro IT – Ahmad Maslan

Kesemua 191 Bahagian UMNO Telah Aktifkan Biro IT – Ahmad Maslan

KUALA LUMPUR, 3 Mac — Kesemua 191 bahagian UMNO seluruh negara telah mengaktifkan Biro Teknologi Maklumat (IT) masing-masing sebagai persediaan memerangi pembangkang dalam perang siber menjelang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Pengerusi Biro Teknologi Maklumat (IT) UMNO Datuk Seri Ahmad Maslan berkata menyampai dan menyebarkan maklumat serta berita sahih berkaitan polisi-polisi yang dijalankan kerajaan, adalah antara gerak kerja utama atau prosedur operasi standard (SOP) jentera IT.

“Di peringkat setempat pula, mereka perlu mempromosikan aktiviti-aktiviti dan biodata calon Barisan Nasional yang bakal diumumkan kelak supaya lebih dikenali pengundi dan masyarakat,” katanya selepas Program Taklimat kepada Jawatankuasa Biro IT UMNO Bahagian Kepong di sini, hari Ini.

Ahmad Maslan berharap jentera IT itu yang mempunyai tanggungjawab besar dalam menangkis fitnah yang dilemparkan pembangkang, akan kekal aktif dalam menarik pengundi yang menggunakan media sosial sebagai platform utama bagi mendapatkan maklumat.

Ditanya mengenai keberkesanan jentera IT tersebut, Ahmad Maslan yang juga Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri berkata setakat ini beliau berpuas hati kerana banyak maklumat positif mengenai kerajaan sudah disebarkan di media sosial.

“Gerak kerja mereka sangat baik. Jika kita lihat sekarang banyak sebaran maklumat berbentuk infografik dan gambar sudah dikongsi. Kita juga tidak terlalu banyak maklumat berbentuk tulisan kerana ini boleh membosankan orang ramai.

“Jumlah jentera setakat ini pun kukuh. Kita ada kira-kira 10,000 anggota biro IT di seluruh negara dan mereka akan terus bekerja sehingga tamat hari pengundian,” katanya.

Leave a Reply