Letak Ramai Calon Wanita Hanya Gimik Pihak Pembangkang @DrNorainiAhmad

Letak Ramai Calon Wanita Hanya Gimik Pihak Pembangkang @DrNorainiAhmad

BATU PAHAT, 3 Mac – Cadangan untuk mengetengahkan dan meletakkan lebih ramai calon wanita hanyalah gimik pihak pembangkang bagi menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) ke 14 yang bertujuan untuk menarik lebih ramai pengundi menyokong mereka

Setiausaha Wanita Barisan National (BN) merangkap Ahli Parlimen Parit Sulong, Datuk Dr Noraini Ahmad berkata, konsep berkenaan sudah dilaksanakan oleh BN sejak dahulu lagi yang tidak ‘meninggalkan’ golongan wanita untuk bergiat sama dalam bidang politik dan juga pentadbiran di negara ini.

“Perkara yang dicadangkan oleh pemimpin pembangkang berkenaan sudah meniru konsep yang telah dilaksanakan oleh pihak BN selama ini.

“Malah bagi tujuan memberikan peluang kepada golongan wanita ini, pihak pimpinan pusat BN dalam telah bersetuju untuk meletakkan sebanyak 30 peratus calon dalam PRU 14 adalah wanita baik di peringkat Parlimen mahupun Dun.

“Bagi tidak mengenepikan wanita dalam politik, sebagai contohnya BN Johor mempunyai empat Ahli Parlimen wanita berbanding 20 kerusi yang dimenangi dalam PRU 13 yang lalu.

“Perkara inilah yang menjadi ikut-ikutan oleh agenda pembangkang yang hanya datang bermusim, iaitu setiap lima tahun dan kemudian apa yang mereka perjuangkan itu akan berlalu begitu sahaja,” katanya.

Beliau ditemui ketika program Ceria Ke Sekolah dengan kerjasama daripada Tenaga Nasional Berhad (TNB) Johor yang diadakan di Sekolah Agama (SA) Sri Medan yang membabitkan 200 pelajar menerima pakaian sekolah agama.

Tambah Noraini yang juga Pengerusi Ahli Parlimen Wanita Komanwel (CWP), konsep yang diketengahkan oleh kerajaan kini yang memberikan ruang kepada golongan wanita turut menjadi contoh di kalangan negara pertubuhan berkenaan.

“Ianya menjadi satu perkara yang tidak pelik sekiranya pihak pembangkang ingin meniru konsep berkenaan dalam pentadbiran mereka kerana konsep yang diamalkan ini telah menunjukkan kejayaannya.

“Golongan wanita ini bukan sahaja menjadi ‘tulang belakang’ kepada sesuatu pertubuhan atau parti politik sahaja, tetapi dari segi komitmen kerja mereka ini lebih rajin dalam memikul amanah yang diberikan.

“Bagaimanapun kita perlu ingat yang pembangkang ini hanyalah reti menabur janji sahaja dan janganlah kita mudah terpedaya dengan perkara berkenaan terutamanya golongan wanita yang mungkin akan terpengaruh kerana terlalu mengejar kedudukan termasuklah mahu menjadikan lebih ramai wanita menjadi pemimpin,” katanya.

 

Leave a Reply