Warga Emas, Ibu Tunggal Bersyukur Terima BRIM

Warga Emas, Ibu Tunggal Bersyukur Terima BRIM

JOHOR BAHRU, 2 Mac — Kalangan warga emas dan ibu tunggal yang menerima Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) di kawasan Parlimen Johor Bahru hari ini bersyukur dengan bantuan itu dalam meringankan beban kos sara hidup yang semakin tinggi.

Bagi Nurhairun Abdul Kadir, 65, bantuan itu dapat digunakan  untuk membeli keperluan harian dan  membantu membayar  bil memandangkan dia kini  tinggal di rumah anak saudaranya,

“Sedikit sebanyak bantuan  ini dapat meringankan beban kos sara hidup, malahan saya juga dapat bantu keluarga memandangkan saya belum berumah tangga,” katanya ketika ditemui Bernama.

Lelaki warga emas itu merupakan antara 1,300 penduduk di sekitar kawasan Johor Bahru yang menerima baucar BR1M di Pusat Khidmat Wakil Rakyat Parlimen Johor Bahru di sini. Turut hadir anggota Parlimen Johor Bahru Tan Sri Shahrir Abdul Samad.

Sementara  itu,  P. Sathiawani berkata sebagai ibu tunggal, dia perlu bekerja  bagi menyara  hidup dan bantuan itu amat bermakna dalam membantu mengurangkan bebannya.

“Rumah  sewa perlu  dibayar sebanyak RM250 sebulan. Selain membeli  barangan  keperluan harian, membayar bil dan menjaga seorang cucu, BR1M ini dapat meringankan beban yang perlu saya tanggung,” katanya.

Bekerja  sebagai pembantu rumah, Sathiawani, 32, yang  mempunyai tiga orang anak, berkata  BR1M  sangat penting dalam membantu rakyat yang tidak berkemampuan seperti dirinya.

Tukang kayu, Tan Lan Hock,  berkata usaha kerajaan itu harus dipuji kerana prihatin akan keperitan rakyat sepertinya.

“BR1M  ini sangat bagus kerana saya berpendapatan rendah. Melalui  pemberian ini, saya   dapat mengunakannya untuk membayar sewa bilik sebanyak RM250 sebulan selain dapat membeli pakaian baharu,” kata warga emas itu.

Leave a Reply