Johor Bahru, Kluang Pertahan Johan Qari dan Qariah Tilawah Al-Quran Kali Ke 62 Peringkat Negeri Johor

Johor Bahru, Kluang Pertahan Johan Qari dan Qariah Tilawah Al-Quran Kali Ke 62 Peringkat Negeri Johor

 

Oleh Iskandar Ahmad

BATU PAHAT, 1 Mac – Juara tahun lalu qari dari daerah Johor Bahru manakala qariah dari daerah Kluang sekali lagi mempertahankan gelaran juara dan mengalahkan 21 peserta lain dari 10 buah daerah di negeri ini dalam Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Negeri Johor Kali Ke-62 di Dewan Sultan Ibrahim, Universiti Tun Hussien Onn (UTHM) di sini, semalam.

Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim, wakil rasmi Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkenan mencemar duli merasmikan penutup majlis berkenaan. Turut berangkat, isteri baginda, Che’ Puan Khaleeda Bustamam, Tunku Idris Iskandar Sultan Ibrahim, Tunku Temenggong Johor, Tunku Abdul Rahman Sultan Ibrahim, Tunku Panglima Johor, dan Tunku Abu Bakar Sultan Ibrahim, Tunku Putera Johor.

Turut hadir dalam majlis berkenaan adalah Menteri Besar Johor, Dato’ Mohamed Khaled Nordin, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Azmi Rohani, dan Pengerusi Jawatankuasa Agama Negeri, Abd Mutalip Abd Rahim.

Sementara itu, Pengetua Akademik al-Quran Pasir Gudang, Muhamad Muslim Ali, 31 yang dinobatkan sebagai johan majlis berkenaan berkata, pada tahun ini amat mencabar kerana dia perlu bersaing dengan ramai peserta yang lebih muda yang kebanyakkan prestasi mereka semakin meningkat dalam pertandingan seumpama itu.

Beliau yang pernah muncul johan qari peringkat negeri pada tahun 2016 dan 2017 berterima kasih kepada gurunya, Ustaz Bachok Tupat.

Bagi pelajar Kolej Universiti Islam Melaka (KUIM), Nur Nadiyah Hashim 22, johan qariah dari daerah Kluang berkata, dia tidak menyangka menjadi johan kategori itu pada tahun ini berikutan mempunyai masalah kesihatan menjelang hari pertandingan.

“Pada tahun ni agak mencabar kerana saya mengalami semput dan tonsil bengkak dua minggu sebelum tilawah dan hampir membuat keputusan untuk menarik diri tetapi saya tawakal niat kerana Allah dan akhirnya Allah bantu saya, katanya.

Hadiah kemenangan untuk qari disampaikan Tunku Ismail manakala bagi qariah disampaikan Che Puan Khaleeda Bustamam. Johan Qari dan Qariah masing-masing membawa pulang hadiah kemenangan RM15,000 serta piala.

Leave a Reply