600 Penduduk Terima Barangan Keperluan Di Free Market UMNO

600 Penduduk Terima Barangan Keperluan Di Free Market UMNO

JOHOR BAHRU, 24 Feb — Kira-kira 600 penduduk dari dua kampung dan dua taman perumahan berpeluang mendapatkan barangan keperluan asas mereka secara percuma menerusi Program ‘Free Market UMNO Kampung Bendahara’ yang diadakan di sini, hari ini.

Program itu yang dianjurkan secara bersama antara Majlis Bandaraya Johor Bahru, Yayasan Bandaraya Johor Bahru (YBJB), Biro Ekonomi UMNO dan Barisan Nasional Bahagian Pasir Gudang memilih penduduk dari Kampung Bendahara, Kampung Belantik, Taman Sri Amar dan Taman Sri Pandan sebagai penerima bertuah.

Menurut Pengarah Programnya Raja Norasyikin Raja Ali, setiap penerima akan menerima 10 daripada 20 jenis barangan keperluan yang disediakan.

Antara barangan itu ialah minyak masak, ikan sardin dalam tin, telur, gula, garam dan kicap, katanya.

Katanya, penerima dipilih berdasarkan empat kriteria iaitu sama ada tergolong dalam golongan asnaf, warga emas, orang kurang upaya dan miskin bandar.

“Selain barangan percuma, kita juga adakan program tukar minyak hitam percuma melibatkan kira-kira 200 motosikal.

“Program yang dilaksanakan sejak tahun lepas ini diadakan bagi meringankan beban rakyat dengan kos sara hidup,” kata beliau ketika ditemui pada program berkenaan di Balai Raya Kampung Bendahara hari ini.

Program dirasmikan oleh Menteri Besar Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Sementara itu, seorang daripada penerima barangan keperluan berkenaan, Timah Wahab, 67, berkata bantuan itu sedikit sebanyak dapat meringankan bebannya terutama ketika dia menginjak usia warga emas.

“Mak cik paling suka program ini, memang mengalu-alukan sangat. Kalau boleh diteruskan, jangan berhenti,” katanya.

Bagi Yussrie Abd Halim, 41, pula program itu memberikan kebaikan kepada rakyat khususnya yang kurang berkemampuan.

Seperti Timah, dia juga berharap agar program itu bukan sahaja dapat diteruskan malah diperluaskan ke seluruh negara.

Leave a Reply