122 Projek PPR Dengan 84,490 Unit Rumah Disiapkan Sejak 2001

122 Projek PPR Dengan 84,490 Unit Rumah Disiapkan Sejak 2001

JOHOR BAHRU, 23 Feb — Sebanyak 122 projek Program Perumahan Rakyat (PPR) dengan 84,490 unit rumah telah disiapkan di seluruh negara sejak 2001 hingga kini, kata Timbalan Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) Datuk Halimah Mohamed Sadique.

Beliau berkata pembinaan rumah itu, yang disediakan untuk lebih 300,000 orang yang tergolong dalam kumpulan berpendapatan rendah dan kalangan penduduk setinggan, dilaksanakan dengan kos hampir RM6 bilion.

Di Johor sahaja, katanya, KPKT telah menyiapkan sebanyak 8,278 unit rumah PPR manakala 4,717 unit lagi dalam pembinaan selain 1,430 unit lagi sedang dirancang termasuk PPR Masai yang dilancarkan hari ini.

“Projek PPR Masai merupakan kerjasama kerajaan pusat dan negeri bagi membolehkan rakyat berpendapatan tidak lebih RM3,000 serta penduduk setinggan dapat memiliki atau menyewa rumah yang selesa pada harga mampu di kawasan bandar atau pinggir bandar,” katanya pada majlis Pecah Tanah dan Pelancaran Projek PPR Masai di Jalan Merbok, Masai di sini.

Turut hadir Menteri Besar Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Halimah berkata projek itu melibatkan kos sebanyak RM60.95 juta dengan melibatkan pembinaan 330 unit rumah pangsa yang dilengkapi tadika, taska, bilik komuniti, kedai dan gerai.

Projek itu bermula semalam dan dijangka siap pada 21 Feb 2021, katanya.

Beliau berkata menerusi dasar PPR itu, mereka yang berkelayakan hanya perlu membayar kadar sewaan sebanyak RM124 sebulan berbanding kadar sewa rumah setara lain yang mencecah RM500 hingga RM600 sebulan.

“Bagi membolehkan rakyat memiliki rumah itu sepenuhnya, kerajaan menetapkan supaya setiap unit dijual pada harga RM35,000,” katanya.

Sementara itu, Mohamed Khaled berkata penyediaan rumah mampu milik untuk rakyat merupakan usaha berterusan kerajaan negeri dan pusat.

Beliau berkata kerajaan sentiasa melaksanakannya kerana ia adalah tanggungjawab untuk memberikan kesejahteraan kepada rakyat.

“Ini bukan kerana nak pilihan raya,” katanya.

Leave a Reply