Pengurus Felda Perlu Agresif Dan Kreatif Jawab Tuduhan – Razali

Pengurus Felda Perlu Agresif Dan Kreatif Jawab Tuduhan – Razali

BANGI, 20 Feb – Pengurus tanah rancangan Felda perlu lebih agresif dan kreatif bagi menjawab sebarang dakwaan serta persepsi negatif yang dibangkitkan pihak tertentu tentang agensi itu, kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Razali Ibrahim.

Beliau berkata perubahan landskap politik semasa memerlukan golongan yang paling hampir dengan para peneroka itu mengubah kaedah penerangan termasuk menggunakan media sosial bagi mengelakkan generasi Felda ‘terbuai’ dengan dakyah yang disebarkan.

Razali berkata terdapat banyak cerita baik dan kisah kejayaan Felda namun tidak diceritakan.

“Penjelasan tidak semestinya dibuat melalui sidang media sebaliknya perlu dipelbagai termasuk menghasilkan video atau cerita-cerita positif mengenai kejayaan Felda, yang kemudiannya boleh disebarkan kepada warga peneroka di bawah seliaan masing-masing,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Seminar Jawatankuasa Permuafakatan Produktiviti dan Kualiti (JPPK) 2018 di sini hari ini.

Seminar tiga hari bagi membincangkan isu berkaitan jual beli buah tandan segar (BTS) serta aktiviti bagi meningkatkan kesedaran dan pengetahuan pihak berkepentingan tentang kepentingan BTS itu disertai oleh lebih 800 peserta terdiri daripada 303 pengurus Felda, 177 pengurus Felda Technoplant dan selebihnya wakil peneroka dan pengurus kilang.

Razali berkata keadaan di mana dasar dan kejayaan Felda yang sebelum ini diterima secara terbuka oleh peneroka kini mula berubah ekoran sentimen negatif tentang institusi itu yang sering dimainkan pembangkang.

“Keadaan ini menuntut semua pengurus tanah rancangan terjun ke ruang yang cuba dikuasai pihak berkepentingan untuk memberi penerangan sekaligus membetulkan setiap dakwaan, persepsi atau fakta tidak betul yang menjadi alat propaganda dalam memburukkan Felda,” katanya.

Berhubung usaha pembangkang memainkan sentimen warga peneroka menolak kerajaan yang dinaungi Barisan Nasional (BN), Razali berkata ia adalah isu kitar semula yang sering dilaungkan ketika menjelang pilihan raya.

Jika keputusan pilihan raya umum ke-13 (PRU13) lepas dijadikan ukuran, beliau percaya BN masih mendapat sokongan penuh warga Felda pada PRU14 nanti kerana pada PRU13 pelbagai fitnah, dakwaan serta serangan tidak berfakta dilakukan pembangkang terhadap institusi itu namun sokongan terhadap BN kekal padu.

“Di Felda terdapat 273 PDM (Pusat Daerah Mengundi) dan BN hanya kalah di tujuh PDM, satu bukti menunjukkan sokongan warga Felda kepada BN adalah kukuh,” katanya.

Pada PRU13, BN menang 50 kerusi Parlimen daripada 54 kerusi dan 81 daripada 92 kerusi Dewan Undangan Negeri yang mempunyai pengundi warga Felda.

Leave a Reply