Naik Taraf Lebuh Raya Dari Plaza Tol Skudai Hingga Ke Ayer Keroh

Naik Taraf Lebuh Raya Dari Plaza Tol Skudai Hingga Ke Ayer Keroh

JOHOR BAHRU 13 Feb. – Kerajaan negeri mahu Projek Lebuhraya Usahasama Berhad (PLUS) menambah laluan daripada dua kepada tiga lorong dari Plaza Tol Skudai hingga persimpangan Plaza Tol Ayer Keroh, Melaka.

Pengerusi Jawatankuasa Ker­ja Raya, Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah nege­ri, Datuk Ir. Hasni Mohammad berkata, cadangan itu telah dikemukakan kepada PLUS sejak 2014 namun tidak ada sebarang tindakan diambil berhubung perkara tersebut.

Menurutnya, perkara itu telah disuarakan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin kepada Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi sewaktu Timbalan Perdana Menteri melawat ke nege­ri ini baru-baru ini.

“Kita cadangkan pertambahan daripada dua kepada tiga lorong bermula dari Plaza Tol Skudai hingga ke persimpangan Plaza Tol Ayer Keroh, Melaka.

“Hasrat ini sekali lagi disuarakan Mohamed Khaled Nordin kepada Ahmad Zahid Hamidi baru-baru ini,” ujarnya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menyempurnakan majlis pelancaran Kempen Keselamatan Jalan Raya Sempena Tahun Baharu Cina di Jalan Sutera Danga di sini semalam.

Katanya, perkara tersebut penting bagi meningkatkan kuali­ti trafik di kawasan terlibat dan mengurangkan kesesakan lalu lintas.

“Ini kerana kesesakan bukan sahaja berlaku ketika waktu puncak di kawasan persimpangan plaza tol tetapi di sepanjang laluan tersebut,” katanya.

Sementara itu, Hasni turut me­maklumkan pihaknya sudah mengenal pasti 15 lokasi kerap berlaku kemalangan di negeri ini dan langkah-langkah pencegahan sudah diambil secara berperingkat-peringkat.

“Antara lokasi yang dikenal pasti Jalan Ayer Hitam-Batu Pahat, Jalan Batu Pahat-Kluang dan Jalan Kota Tinggi-Mersing.

“Langkah menaik taraf laluan itu akan dijalankan secara berperingkat-peringkat membabitkan pelebaran jalan, pencahayaan, papan tanda dan mengurangkan sudut selekoh,” ujarnya.

 

 

Leave a Reply