Dua Beradik Lega Dapat Rumah Baharu

Dua Beradik Lega Dapat Rumah Baharu

JOHOR BAHRU 13 Feb. – Sambutan Tahun Baru Cina lebih bererti buat dua beradik yang tinggal dalam rumah pusaka yang uzur di Tampoi di sini apabila menerima rumah bernilai RM60,000 menerusi Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT).

Bantuan tersebut lebih bererti lagi apabila diserahkan sendiri oleh Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Nur Jazlan Moha­med yang juga Ahli Parlimen Pulai.

Sebelum ini, rumah yang dibina ibu bapa dua beradik, Wong Mooi Eng, 60, dan Wong Lin Moi,79, sejak 60 tahun lalu itu berada dalam keadaan uzur dan menyedihkan.

Kini dua beradik itu yang tinggal dalam rumah yang bumbungnya bocor setiap kali hujan sudah boleh menarik nafas lega apabila kerajaan menyediakan rumah baharu di tapak yang sama.

Lin Moi berkata, sebelum ini dia bekerja kilang tetapi sudah lama berhenti kerana menjaga abangnya yang sakit.

“Keluarga kami dipindahkan di sini sejak berpuluh tahun lalu selepas darurat dan inilah rumah buat kami lapan beradik membesar.

“Ketika pilihan raya umum lalu, Ahli Parlimen datang melihat keadaan rumah dan berjanji akan mengusahakan sesuatu dan hari ini semuanya direalisasikan,” katanya ketika ditemui pemberita di rumahnya baru-baru ini.

Sementara itu, Nur Jazlan berkata, rumah itu dibina secara gotong-royong oleh persatuan belia, Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dan pelbagai agensi kerajaan sejak 10 bulan lalu.

“Projek PPRT ini memberi manfaat kepada penerima yang mempunyai tanah dan menepati kriteria. Penerima kali ini sangat unik kerana rumahnya berada dalam kepesatan bandar raya.

“Kita juga diberikan tanggungjawab membaik pulih 100 rumah dengan pembiayaan RM1 juta oleh kerajaan bagi program Touch Point tahun ini berbanding tahun sebelumnya kita menerima peruntukan bagi 20 rumah sahaja,” katanya ketika ditemui pemberita selepas program Sentuhan Kasih, di pekan Tampoi di sini.

Nur Jazlan berkata, pihaknya sentiasa berusaha mengesan rakyat yang memerlukan bantuan dan usaha berterusan itu dijalankan dengan kerjasama ketua kampung atau ketua masyarakat.

“Ini antara usaha kerajaan untuk memastikan kemiskinan bandar dapat diatasi dengan pembinaan rumah mereka yang miskin supaya mereka ada tempat berteduh. Selain itu kerajaan juga menyalurkan pelbagai bantuan lain kepada penduduk terbabit,” katanya.

 

Leave a Reply